Followers

About Me

My photo
Cahaya yang baik- semoga menjadi hamba,anak dan pelajar yang solihah..juga prof.dr. yang solihah...in shaa Allah. Seek only to give and you will receive :)

Tuesday, January 29, 2019

Catatan Fasa ujian

Bismillahirrahmanirrahim
Catatan ini saya tulis sebagai terapi menenangkan jiwa saat diuji. Suka saya kumpulkan dan kongsi di sini sebagai motivasi untuk saya dan kita apabila melalui fasa ujian lagi terutama ujian kesihatan. Juga sebagai peringatan untuk saya supaya sentiasa bersyukur, dan teguran saat saya leka atau putus asa dengan nikmat. Semoga bermanfaat 🤗

Catatan Fasa Ujian 1

"it's not a good sign"
"dik, kami aturkan appointment dengan pakar kalau boleh secepatnya"

Allahu. Siapa yang tak panik.
Siapa yang tak takut.
Terbayang semua salah dan silap
Terbayang hutang yang masih belum dijelaskan
Terbayang puasa yang masih ada

Namun mereka seakan yakin tiada yang serius. Bahkan semuanya masih boleh positifkan diri.
"Buat solat Hajat taubat banyak-banyak  In shaa Allah takde pape."

Percaya pada kuasa doa.
Semuanya hanya jangkaan semata-mata
Masih ada waktu untuk berubah
Allah kata kun fayakun
Maka yakin dengan Dia,  Positif!

أنا عند ظن عبدي بي

Perkhabaran manusia bisa dipatahkan dengan kehendak tuhan. Rahmat Allah mengajar kita untuk percaya :)

Catatan Fasa ujian 2.

 Tahu painkiller apa yang paling indah?
Saat sakit menyerang lalu hati memujuk dan berkata :

Kalau awak sabar, saat ini juga dosa awak gugur meninggalkan awak..
Lalu saat awak kembali sihat, awak seakan lahir semula..
Kembali pada fitrah suci..
Bukankah ini yang awak pohon siang dan malam?
Agar Allah ampunkan dosa awak?
Nah ini jalannya sayang..
Tinggal kita usaha untuk sabar
Ganjaran yang sangat besar untuk orang yang bersabar 😊
 وبشر الصابرين..

Lalu senyuman diukir dengan linangan air mata. Aku redha dengan ujian ini ya Allah..

Catatan Fasa ujian 3.

Alhamdulillah Allah tarik satu nikmat kesihatan buat sementara waktu, tapi Allah kurniakan banyak nikmat yang lainnya.

Punya sahabat yang sentiasa mendoakan juga satu nikmat yang terindah.

Masih punya wang untuk membeli ubat, mendapatkan rawatan satu nikmat yang besar yang patut saya syukuri.

Punya keluarga yang mendokong, yang sentiasa berusaha menggembirakan saya, yang sentiasa tanpa henti mencari ikhtiar supaya segera sembuh adalah nikmat yang tak ternilai harganya.

Dan saat ini saya sempat merasa air tangan ibu yang memasak.. Air tangan kakak, kasih sayang adik..

Juga kesempatan umur untuk saya terus menyedari akan dosa. Untuk saya segera bertaubat.. Dan menggunakan apa sahaja ruang kebaikan untuk mengumpul bekalan..

Lalu nikmat tuhan yang manakah yang saya dustakan? :')

(وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ)
[Surat Ad-Dhuhaa 11]

Catatan fasa ujian 4.

Mengingatkan banyak kerja yang tak dapat diselesaikan kerana pergerakan saya yang terbatas membuatkan saya rasa geram dengan diri sendiri.
Sehingga diri mula terfikir.. Ya Allah cepat la baik.. Banyak lagi nak buat ni, cuti dah nak habis..

Dan lagi iman menyedarkan..

وإذا مرضت فهو يشفين
Dia yang izin kita sakit, Dia juga yang menyembuhkan
Jangan mengeluh, tetapi dekatkan diri dengan Dia
Cuba cari alternatif lain untuk buat 💪

Janganlah engkau menjadikan keletihan dan kebimbanganmu sebagai tema perbincangan, sebab dengan itu engkau telah menciptakan dinding antara dirimu dan kebahagiaan.
- Dr Aidh Al Qarni -

Catatan Fasa Ujian 5

Saat merasakan diri telah berusaha sehabisnya.. Namun hasil tidak seperti yang dijangka.. Lalu diri mula mencari di mana silapnya,  Kenapa boleh jadi macam ni..

Maka di sinilah silapnya..
Saat kita menganggap semuanya hanya bergantung pada usaha kita
Bahkan keberkatan, adab kita sesama guru, adab kita sesama rakan, maksiat yang berterusan semua itu juga mempengaruhi..
Waktu study terlalu study sehingga lupa hak waktu untuk tuhan,
Atau niat belajar bukan lagi kerana Allah..

Lalu kita seharusnya tidak bermuhasabah pada usaha saja..
Tetapi pandang lah semua segenap segi.

Kerana hakikatnya ujian itu panggilan kasih sayang Allah untuk kita yang kian jauh kembali dekat pada-Nya :)
Allah akan uji pada sesuatu yang paling kita sayang.. Supaya kita menyedari saatnya cinta ini kembali pada Dia :)

Tahniah semua 🌈
Mengejar dua kemenangan
Dunia dan akhirat.

Catatan Fasa ujian 6

Mengingatkan setiap kali exam besar pasti akan sakit, kadang- kadang buat rasa geram dengan diri sendiri. Kerana saat itu tenaga sangat diperlukan untuk pecutan akhir sebelum berjuang di medan peperiksaan.

Seringkali rasa cemburu melihat kawan-kawan boleh study dengan tenang, malah mereka boleh fokus 100% tanpa gangguan. Dan saya perlu curi-curi masa saat segar, dan kembali rehat apabila sakit.

Namun sepotong ayat dari seorang senior cukup untuk mengubat segala rasa ini :

"Org baik² ni, selalu kena uji lain dari yang lain kan 💪🏻💪🏻💪🏻"

Automatik tiba-tiba saya memandang sebagai satu rahmat. Walaupun tak semua masa saya boleh belajar, tapi satu jam boleh cover banyak tajuk. Betapa efisyen masa yang Allah bagi..

Bukankah dalam kesusahan itu pasti ada kesenangan?

Seorang sahabat berpesan, katanya :

 "kita manusia ni sentiasa hidup dalam kemudahan dan kesusahan. Ada masa untuk kita senang, ada masa juga untuk kita susah. Tapi tak banyak yang menyadari bahawa kedua-duanya adalah nikmat. Allah bagi kita hidup mudah dan senang agar kita sentiasa bersyukur, apa kata Allah bagi mereka yang bersyukur? و سيجزي الله الشاكرين

 Allah bagi kita ujian dan kesusahan dalam hidup, agar kita sentiasa bersabar. Apa kata Allah bagi mereka yang bersabar? إنما يوفى الصابرون أجرهم بغير حساب"

 Nota kaki : kalau ada sesiapa yang sakit, khabarkanlah berita gembira kepada mereka.. Ganjaran dan Beruntungnya mereka. Kerana sesungguhnya mereka sangat perlukan itu untuk menguatkan mereka 😊  

2 comments: