Followers

About Me

My photo
Cahaya yang baik- semoga menjadi hamba,anak dan pelajar yang solihah..juga prof.dr. yang solihah...in shaa Allah. Seek only to give and you will receive :)

Wednesday, August 8, 2018

Terawih dan Iftar di Masjid sekitar Selangor Ramadhan 2018


Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah Ramadhan tahun ini Allah bagi kesempatan masa,cara dan peluang untuk merasai suasana tarawih di masjid yang berbeza. Benarlah, antara yang menghidupkan suasana Ramadhan itu ialah dengan adanya pensyariatan solat sunat tarawih di setiap malam. Maka sepanjang bulan itu merupakan latihan untuk kita peruntukkan waktu malam ke masjid, beribadah, hanya untuk Dia.
 Ramai yang tanya saya, kenapa saya tak solat je di masjid UIA sepanjang Ramadhan tu? Senyum.

Ini jawapan saya :

Setiap masjid mempunyai rohnya tersendiri, pengurusan dan suasananya yang tersendiri. Waktu Ramadhan ini kita dapat lihat pelbagai usaha yang dilakukan Jemaah masjid untuk menambah pahala masing-masing. Suasana inilah yang mengasyikkan saya, suasana imam membaca ayat suci al quran dengan khusyuk,rasa tak puas dengan solat isyak ditambah lagi dengan solat tarawih. Suasana semua berlumba memberi juadah berbuka puasa kepada Jemaah lain, dan suasana semua hanya berkejar untuk kebaikan. Indah bukan? Bahkan suasana ini sedikit sebanyak membawa jasad saya seakan berada di tanah haram. Allahu rasa terubat rindu. (sampaikanlah kami ke sana ya Allah..)

Dan yang paling utama, moga tiang-tiang di setiap masjid yang saya pergi, setiap lantai yang saya sujud, dan setiap Jemaah yang saya bersalam dengan mereka menjadi saksi saya di akhirat kelak. In shaa Allah.
Jadi, suka untuk saya berkongsi sedikit sebanyak suasana tarawih dan iftar di setiap masjid yang saya pergi. Moga bermanfaat dan membantu yang lain untuk Ramadhan akan datang.

 1.      Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak.
Image result for masjid uia
gambar ihsan google huu

Suasana tarawih di sini sangat meriah kerana dihadiri oleh pelajar Uia sendiri yang datang dari pelbagai negara. Malah imamnya juga berbeza setiap malam mengikut jadual yang ditetapkan. Semuanya merupakan staf dan pelajar di Uia. Di sini solat sunat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat dan selalunya selesai pada pukul 11 lebih.

Apa yang seronok di sini ialah, setiap malam imam akan habiskan satu juzu al quran, dan akan ikut urutan malam Ramadhan. Jadi kita boleh screening dulu ayat quran yang akan dibaca malam itu, dapatkan dulu konsep dan cerita yang terkandung dalam juzu tu. Bila imam baca, terasa mengalir setiap ayat dalam darah kerana kita sudah dapat gambaran konsep ayat tersebut. Allahu terasa rindu :’)

Untuk iftar, Masjid ini sediakan 400 pax makanan percuma setiap hari. Semuanya dibungkus siap-siap lengkap dengan kurma dan air. Namun, untuk berbuka puasa makanan di sini kita perlu datang awal sebab pukul 6 petang biasanya makanan dah habis. Oh ya moreh juga disediakan, malah banyak kali McD sponsor moreh di sini hehe.

 2 .     Masjid As Syakirin, KLCC

kat sebelah ada construction, tak dapat nak ambil gambar elok-elok huu
Ini kali pertama saya merasai suasana iftar dan tarawih di sini dan sejujurnya saya begitu teruja! Saya sampai di masjid agak lewat, lagi berapa minit nak berbuka puasa. Tapi alhamdulillah makanan berbuka masih banyak dan ruang untuk berbuka juga masih ada yang kosong. Oh rupanya masjid sediakan 800 pax makanan percuma setiap hari. Iftar di sini juga dibungkus siap-siap dengan air,kurma dan juga bubur lambuk,di atur siap-siap atas tikar. Cuma kekurangannya ialah portion yang disediakan agak banyak, dan tak habis huhu.

Satu lagi keistimewaan masjid ini, sementara menunggu azan maghrib, akan ada bacaan zikir beramai-ramai. Setelah itu alunan zikir dipasang sehinggalah waktu maghrib masuk, zikirnya agak rare, first time saya dengar. Dan di sini,solat tarawih 20 rakaat, imam baca separuh muka surat setiap rakaat. Pukul 9.20 malam dah habis 8 rakaat.

 3.     Masjid Putra, Putrajaya.

Sampai sahaja di masjid ini, saya temui salah satu suasana yang saya cari selama ini. Suasana di masjid nabawi! rak kasutnya, jemaahnya, perjalananya , sama! Dan saya sangat suka lihat setiap kelompok keluarga datang berbuka puasa sama-sama di sini, Allahu amannya.. Peliharalah suasana ini ya Allah.

Masjid ini paling meriah iftarnya berbanding masjid lain yang saya pergi. Tempat iftar diletakkan asing untuk Jemaah lelaki dan Jemaah wanita. Bahkan tempat berbuka untuk keluarga juga asing. In shaa Allah selesa. Makanan di sini disediakan secara buffet dan solat maghrib dulu baru makan. Yang menyeronokkan juga, bila kita saling bertukar kuih-muih yang dibawa sesama Jemaah. Terasa bagai dah lama kenal, inilah ukhuwah 😊

Solat tarawih di sini sangat santai, imam hanya baca beberapa ayat sahaja pada setiap rakaat. Malah bacaan imam satu persatu cukup untuk kita menghayati dan meneliti maknanya. Oh ya masjid ni sangat lawa dan sejuk.   

4.    Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ini masjid kegemaran saya sepanjang Ramadhan kali ini. Bahkan saya lebih kerap ke sini berbanding masjid UIA sendiri. Kenapa? Kerana bacaan imamnya yang sangat memukau. Alunan suara dan lenggoknya bukan seperti orang Malaysia. Indahkan apabila mendengar bacaan orang yang mengerti apa yang dibacanya, orang yang menghayati bacaannya. 
Bahkan suara imam akan bergetar setiap kali tiba pada ayat yang pedih,terhenti tahan tangis pada ayat azab, lalu diikuti tangisan makmum yang lain. Tuhan.. betapa suasana ini buat kami terasa dekat denganMU. Seakan merintih, lalu didakap penuh kasih sayang. Serius, saya tenggelam dengan bacaan imam. Malah bila saya mengaji pada juzu yang seterusnya pada siang hari, saya akan rasa tak sabar nak dengar imam baca juzu tu, rasa ternanti-nati pembawakan imam untuk juzu tu.
Dan yang saya sangat puas ialah imam baca satu rakaat satu muka surat, satu juzu satu malam, 8 rakaat selesai pukul 9.40 malam. Padat dan mampat, bertepatan dengan situasi pelajar yang ada exam waktu tu.


Selain itu, tambah nilai untuk masjid ni ialah binaannya yang sangat cantik. Rasa tak puas tengok setiap sudut, indahnya seni bina Islam. Iftar di sini juga sangat mewah. Lauknya ada tiga, ikan / telur Bersama daging / ayam , satu jenis sayur, buah dan air. Tapi makan berat selepas solat, sebelum solat masjid ada sediakan kurma dan kuih. Di sini iftar guna kongsep buffet, ada pada dua bahagian, wing A dan wing C. Cuma tempat berbuka puasa di sini agak bercampur, dan kebanyakannya terdiri daripada keluarga. First time saya datang berdua je dengan kawan, rasa krik krik, seolah-olah kami je yang bujang haha. Oh ya masjid ni ada sediakan khidmat childcare, parents boleh tinggal anak-anak mereka di sini ketika solat tarawih, akan ada yang tolong jaga. Seronok kan?

 5.      Masjid Negeri Selangor, Shah Alam




Ini masjid yang paling memukau bagi saya. Bahkan setiap kali tutup mata ,masih terngiang-ngiang bacaan imam pada setiap rakaat. Bayangkan, sepanjang 20 rakaat solat tarawih, imam bertukar sebanyak tiga kali. Imam pertama, pembawakannya seperti kebiasaan pelajar tahfiz, tenang dan lancar. Masuk rakaat ke 8,imam bertukar. Imam yang kedua suara dia makin up, lagi power dari sebelumnya. Auranya berbeza, cukup membuatkan makmum menangis bila tiba ayat yang menyentuh jiwa. 
Masuk imam ketiga, Allahu seakan berada di dunia lain. Pertama kali, saya menangis di setiap alfatihah di setiap rakaat. Pertama kali saya merasakan ,”tuhan, indahnya aturanmu..al fatihah ini kau susun kami baca setiap hari”
Pertama kali al fatihah begitu menusuk jiwa. Nak tahu kenapa?

Bismillahirrahmanirrahim..Imam memulakan al fatihah dengan nada biasa.

“Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,Yang menguasai hari pembalasan..” Imam teruskan dengan nada kita memuji orang penuh ikhlas.

“Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan” Imam sambung dengan nada merayu penuh harapan. Seolah-olah itulah satu-satunya peluang kita merayu, merayu pada satu-satunya harapan yang kita ada. Saya dibawa hanyut  bersama suasana.

 “Tunjukilah kami jalan yang lurus” Imam membaca dengan penuh penghayatan.Ayat inilah kemuncaknya. Air mata saya pecah. Sepenuh-penuh harapan kita meminta pada Allah.. Ihdina sirotol mustaqim..Tunjukilah ya Allah..

 “(yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”. Tak cukup itu, kita perincikan lagi permintaan kita.

Ameennn..Bergema satu masjid, auranya luar biasa. Air mata makin deras. Subhanallah nikmatnya..

Usai tarawih 20 rakaat, bilal akan baca zikir ya latif. Pertama kali juga saya dengar irama sebegitu, kami semua terpukau. Usai doa, sekali lagi bilal membaca selawat dengan alunan yang sangat merdu, lalu kami semua Jemaah bangun dan bersalaman sesama kami. Sungguh, suasananya begitu hidup dan membahagiakan.

Iftar di sini juga sangat meriah. Makanan disediakan untuk semua Jemaah, malah siap ada khemah yang dipasang di tepi masjid. Kebetulan saya pergi ketika 10 malam terakhir Ramadhan, jadi kami beriktikaf di sana. Sepanjang malam masjid sangat hidup. Ada yang mengaji, ada yang solat sunat. Sampai saya tak sedar hari dah lewat malam. Suasana qiyam di sini juga sangat seronok, bacaan doa imam pagi tu cukup buat semua makmum teresak-esak. Sahur juga disediakan oleh pihak masjid.


6.      Surau Al Mawaddah, seksyen 7 Shah Alam.

Ini surau yang terakhir sempat saya pergi sebelum pulang ke Terengganu. Surau ini sangat meriah, makmum penuh sampai ke belakang. Dan malam itu imamnya dari Syria. Saya masih ingat bacaan qunut imam yang sangat panjang dan syahdu. Rasa tak puas berdoa.
Surau ini juga sediakan iftar, 600 pax setiap hari. Adakala solat tarawih dilakukan 8 rakaat disusuli tazkirah. Selebihnya solat tarawih dibuat 20 rakaat.

Alhamdulillah sekadar ini perkongsian yang dapat saya kongsikan, untuk rasai sendiri bagaimana, jom kita ke masjid :)
semoga Allah melindungi suasana ini, dan semoga kita semua diberi peluang merasainya lagi pada Ramadhan akan datang. Allahumma ameen.
Inilah tarbiyyah Ramadhan yang dirindukan saban malam :’)




No comments:

Post a Comment