Followers

About Me

My photo
Cahaya yang baik- semoga menjadi hamba,anak dan pelajar yang solihah..juga prof.dr. yang solihah...in shaa Allah. Seek only to give and you will receive :)

Sunday, May 3, 2020

19/3/19



Tak sangka dah setahun berlalu. Dua bulan sebelum tarikh ini, abang ipar paksa saya pergi hospital setelah melihat ubat2 yang saya makan dari klinik. Kadang2 ubat yang di prescribed dari certain klinik tidak sesuai dan lebih parah boleh membahayakan.

Setelah diugut dengan pelbagai kesan jangka panjang, dipujuk kakak. Saya buat keputusan untuk serah diri pada hospital tanpa pengetahuan ummi. Sebab waktu tu ummi outstation, tak nak bagi ummi risau.

Sesampai di hospital, abang terus bawa jumpa doktor. katanya doktor dah ready. masuk bilik saya terkejut lihat segala alat telah tersedia. Dengan mesin, jarum, wayar merata ๐Ÿ˜ญ

"tadi abang jaq kata nak check je, ni dah lain"
Saya tak ingat apa nama saintifik rawatan ni, tapi yang saya ingat saya nampak sendiri darah disedut masuk dalam setiap tube2. Dan ayat terakhir :
"pilih tarikh next appointment, Dr nampak ada something yang tak best."
Maksudnya?
"ada ketumbuhan kat situ, kemungkinan besar kanser kolon"

Hanya Allah yg tahu perasaan waktu tu, susah utk percaya.

"kemungkinan besar je kn abg jaq. Maksudnya ad kemungkinan tak kan"
"hmm kena pilih tarikh cepat. Tapi skrg bagi luka rawatan tadi sembuh dulu"

Petang saya call ummi dan bagitau setiap yang berlaku siang tadi. Termasuk jangkaan doktor. Walaupun saya beriman pada qadha dan qadar, tapi sebagai manusia yang sangat lemah, rasa takut dan sedih itu tetap ada. Namun, di sinilah peranan seorang ibu yang solehah. Kata ummi:

"perkhabaran doktor bisa dipatahkan dengan kehendak tuhan. Doktor hanya boleh menjangka, tetapi yg izinkan semuanya untuk berlaku hanya Allah. Alah solat taubat banyak2 dan sedekah selain kita ikhtiar ikut cakap doktor ๐Ÿ˜Š"

Serentak dengan itu, seakan muncul sinar harapan yang baru. Kita masih ada harapan dan tempat untuk bergantung. Tiada pengharapan yang paling indah melainkan harapan yang disandarkan sepenuhnya kepada Dia. Percayalah, saat kita yakin aturan Allah sentiasa yang terbaik untuk hamba-Nya, kita akan tenang, setenang-tenangnya :')

Ummi pulang dari outstation ambil saya di rumah abang. Nak jadikan cerita, saya tertinggal ubat tahan sakit di rumah abang๐Ÿคง Baru lah tahu macam mana rasa sakit yang sebenar, nak bangun berjalan pun rasa tak mampu. Terus terbayang, macam mana solat yang dibuat, muamalah dengan orang lain, ada tak lagi hutang yang tak dibayar.

Dan macam2 ubat juga ummi beli. Daripada tak pandai telan pil, terus pandai sebab banyaknya ubat kena makan. Cuti seminggu memang ummi yg masakkan. Nampak kan hikmah kat sini. Dalam kita diuji, masih banyak nikmat yang kita perlu syukuri. Tak perlu fokuskan pada ujian tapi hadapilah dengan kesyukuran.

Sejak hari tu saya ada satu beg ubat. Dua bulan pantang makan, sebelum appointment yg seterusnya. Pergerakan juga dikawal. Maka sepanjang tu saya terpaksa pentingkan diri, cuti dari terlalu aktif. Hanya waktu yg tertentu saya terlibat sebab kadang kesihatan tak menentu. Jadi bila badan tengah okay, itulah waktu saya maksimumkan untuk pelajaran dan assignment.

Memang ada suara2 yang bertanya, dan banyak juga perlian sinis, malah ada yang kata saya beralasan. Saya diamkan saja sebab saya tahu mereka tidak tahu. Dan saya sendiri tidak bersedia untuk berkongsi, hanya yang pernah lalui fasa ini akan faham kenapa ๐Ÿ˜Š

Dua bulan ini juga fasa untuk bersedia dari segi mental. Bukan mudah untuk saya pujuk diri, saya tak boleh seaktif sebelum ini. Bukan mudah juga untuk saya tolak setiap jemputan, mesyuarat, rehlah dan lain2. Ummilah yang banyak mainkan peranan, untuk ikhtiar dalam pelbagai cara dan peluang.

Tapi satu yang pasti, ujian inilah yang mendidik kita menjadi lebih baik. Selama ini kita minta supaya Allah jadikan kita seorang yang sabar, bersyukur, kuat dan sebagainya. Tapi mana mungkin kita mampu untuk dapat semua tu sekelip mata, mesti lalui satu proses yang bernama ujian. Lihatlah rasul ulul azmi, mereka mendapat title agung itu kerana ujian yang dihadapi tersangatlah hebat.
Lalu nikmat mana lagi yang kita dustakan? :')

Sehinggalah tarikh yang dijanjikan, sekali lagi hospital kemaman menjadi persinggahan. Alhamdulillah abang ipar kerja di sana, jadi saya tak perlu tunggu giliran yang lama untuk jumpa doktor pakar.

Dua hari sebelum tu, dah dapat berpaket ubat untuk kosongkan perut sebelum puasa 24 jam. Tapi kali ni saya lebih bersedia berbanding sebelum ini. Sebab kali ni saya dah redha untuk apa sahaja keputusan yang diberi nanti.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.. Benarlah Kuasa Allah mengatasi segalanya. Bila Allah kata jadi, maka segalanya akan terjadi. Setelah dimasukkan kamera, discan dsb. Doktor terkejut sebab bukan sahaja jangkaan awal mereka tidak terjadi malah semua ketumbuhan telah tiada. Sehingga tiada keterangan saintifik yang boleh dibuat melainkan kita percaya Allah As Syafii. Tapi doktor kata mungkin juga kesan ubat yang dimakan dan pemakanan dikawal.

Maka daripada appointment yang bersusun2 berubah tinggal dua sahaja untuk follow up. Daripada patutnya warded lama, jadi warded sehari saja, tu pun tak bermalam. Macam kisah dongeng kan? Tapi itulah yang terjadi.

Saya kongsikan di sini supaya kita tidak mudah putus asa dengan ujian yang diberi. Adakalanya kita rasa kitalah yang paling teruk ditimpa musibah.. Kitalah yang paling banyak diberi masalah.. Tapi hakikatnya masalah dan musibah inilah test untuk Allah lihat siapakah antara kita yang paling baik amalanya. Untuk lihat bagaimanakah respon kita saat hadapi ujiannya. Makin dekat atau makin jauh?

ู„ูŠุจู„ูˆูƒู… ุฃูŠูƒู… ุฃุญุณู† ุนู…ู„ุง

Dan di saat kita telah berjaya melepasi ujian itu, kita akan lihat betapa banyak hadiah yang datang bersamanya. Kita jadi lebih kuat, lebih tabah, lebih kental, lebih bersyukur. Kita dapat lihat sahabat yang baik, kita dapat lihat keajaiban bantuan Allah. Siapa yang free2 dapat semua ni?
Maka berbahagialah.. Dan bersyukurlah.. Allah masih sapa kita dengan ujian2 hingga kita tidak terleka dengan nikmat

Cerita setahun yang lalu. Terima kasih pada semua yang banyak membantu terutama rumetku ❤️

Saturday, May 2, 2020

Nasi kabsah ayam yang sangat sedap!


Nasi kabsah ayam

7 cawan Beras basmathi (rendam 20 minit dan toskan)
2 batang carrot (disagat)
2 biji tomato (potong dadu)
1 biji tomato (kisar tanpa air)
2 biji Bawang besar (potong dadu)
6 ulas Bawang putih (hiris nipis)
2 inci halia (hiris nipis)
Kayu manis
Cengkih
Buah pelaga
Bunga lawang
Sos tomato
Minyak zaitun /minyak sapi
Ayam (rebus)
Rempah nasi kabsah
2 helai Daun bay

Panaskan minyak zaitun dan butter. Tumis rempah 4 beradik. Masukkan Bawang dan halia. Tumis sampai bawang jadi perang. Masukkan tomato dan rempah kabsah. Akhir sekali masukkan carrot dan garam. Then masukkan Beras gaul sampai bahan tumis rata. Susun ayam atas nasi. Masak nasi dengan air rebusan ayam.
Bila nasi masak, titikkan air saffron dalam nasi dan gemburkan.
Kalau takde saffron, boleh guna pewarna kuning. 
Btw saffron tu kena rendam air panas dulu. Jangan letak urat camtu nanti warna dia tak sekata. Tadaa nilah hasil dia. 


Ayam goreng/panggang kabsah.

Ayam yang direbus tadi gaulkan dengan rempah kabsah, dua sudu madu, garam dan sedikit minyak zaitun. Perap 1-2 jam. Then boleh goreng atau panggang.




Sambal tomato
2 biji tomato
1 biji Bawang holland
1 biji lemon
1 tangkai Daun ketumbar
20 cili hijau
Garam
Gula
1 sudu minyak zaitun
Blend semua dan siap!


Saltah
4 biji tomato
2 batang timun
3 biji bawang merah
1 biji lemon
1 tangkai daun Ketumbar
1 sudu minyak zaitun
Garam dan gula.
Gaul semua dan siap!



Kuah nasi arab
Air rebusan ayam tadi, masukkan rempah kabsah, 2 biji kentang potong dadu dan 1 batang carrot potong dadu. Perasakan dengan garam. Siap lagi hehe


Resepi ni hasil olahan survey tiga resepi di google. Lalu saya ubah, matchkan, dan suaikan ikut instinct yang mana sedap haha. Derhaka resepi tu biasa ๐Ÿ˜‚ Btw ummi kata sedap kalah Ar Rawsha. Okay gigih ingat balik dan tulis. Kena simpan resepi ni, takut lepas ni lupa dah ubah apa dan kat mana ๐Ÿ˜…

Monday, April 6, 2020

Warkah Cinta buat saudaraku

Saudaraku,
Tiada kesyukuran yang selayaknya kita letakkan, selain pada Allah kerana memberi kita peluang menjadi seorang hamba, beragama Islam, lahir pula dari rahim seorang yang sangat mulia..

Saudaraku,
Dunia ini tidak selalu menggambarkan keindahan.. Maka berhentilah mencari keindahan dunia kerana akhirnya kita akan lelah.
Sebaliknya hiduplah untuk akhiratmu.. Maka kita akan rasa indahnya masa yang dikurniakan di dunia..

Saudaraku,
Jangan pernah berpuas hati dengan amalanmu..
Sebaliknya jadilah orang yang sentiasa lapar akan amalan, yang sentiasa tamak mengejar kebaikan.. Kerana inilah peluang yang diberi Allah lalu dipanjangkan umur kita sehingga hari ini.

Saudaraku,
Setiap manusia melakukan kesilapan.. Namun mahalkanlah kata-kata maafmu.. Biar sampai kamu takut ingin berbuat silap kerana mahalnya sebuah kemaafan.. Tapi setelah kesilapan itu berlaku, teruslah bertaubat, minta maaf dengan bersungguh-sungguh.. Kerana inilah bayarannya dengan kata-kata maaf yang mahal

Saudaraku,
Jangan pernah cuba-cuba memasukkan dirimu dalam medan alasan mahupun kelompok dan suasana kelalaian.. Kerana akhirnya nafsu kita akan terdidik menjadi seperti kelompok itu.. Biasakan dengan orang-orang soleh, majlis-majlis taalim yang melembutkan jiwa.. Moga kita jadi jakun dengan kejahatan.

Saudaraku,
Doamu begitu mahal..
Maka doakanlah kami semua..
Doakan umat islam keseluruhannya..

Semoga Allah merahmati hidupmu saudara seimanku ☺️

Salam sayang,
Saudaramu.

Friday, November 1, 2019

Rahmat Ujian


Berakhir sudah cuti kali ini. Cuti yang banyak mengajar saya. Cuti yang sangat bermakna.

Dari awal masuk semester, ummi dah tanya waktu cuti kami semua adik beradik. Kebetulan kali ni semua universiti cuti midsem sesama. Kecuali UM.
Jadi kami semua dah book untuk buat gathering family, semua orang akan pulang ke terengganu.
Saya dah mesej abang siap-siap nak ikut dia balik jadi satu tiket pun saya tak beli.

Namun waktu inilah iman kita diuji dengan perancangan Allah mengatasi perancangan kita. Sehari sebelum gathering, abang ditimpa kemalangan, dan hana pergi meninggalkan kami. Lalu gathering kami dtukar ke Perak rumah abang. Dan momen paling indah bila kami bersama saling menguatkan dalam linangan air mata.
Saya takkan lupa saat dua lelaki yang saya sayang menangis dalam pelukan di bahu saya :')

Tapi apa yang saya paling nak kongsi di sini ialah saya menjadi saksi betapa Rahmat Allah itu sangat luas. Dalam kesedihan akan satu kehilangan, Allah hadirkan ramai insan yang berlumba hulurkan tangan. Segalanya tiba-tiba sudah tersedia. Oleh sebab keluarga yang lain semua jauh. Hanya saya dan kak irah yang dapat sampai awal, tapi sesampai kami di sana sudah banyak yang selesai.

Dah ada yang panggilkan orang mandikan
Ada yang dah uruskan kubur
Ada yang dah sediakan van jenazah
Ada yang uruskan motor dan laporan polis
Ada yang bersihkan helmet dan baju berlumuran darah
Ramai yang datang solat kan, pelajar SRITI pun datang.

Bukan tu je, selesai pengebumian kami pulang ke rumah, tiba-tiba catering hantar makanan tengah hari. Rupanya ada yang orderkan. Orang taman pasangkan kanopi depan rumah. Orang MRSM datang buat tahlil, sekali pakej catering. Orang taman pun bawa makanan juga. Semuanya tersedia.

Allahu..

Malah tetamu tidak putus datang berikan sokongan dan semangat. Yang dari jauh datang. Yang tak kenal pun datang. OCPD datang juga. Ada juga yang mesej kat Fb kat wassap minta nombor akaun nak sampaikan sumbangan.

Terima kasih semua yang membantu dengan segala jenis bentuk bantuan
Tiada yang mampu kami katakan selain Jazakumullahu khairal jaza, semoga Allah ganjarkan dengan sebaik ganjaran.

Terima kasih Allah atas kasih sayangMu. Terima kasih kerana buat kami makin percaya, engkau tidak pernah biarkan hambaMu diuji terumbang ambing.
Terima kasih kerana menggerakkan hati-hati mereka yang suci untuk bantu kami.
Dan benarlah akan janjiMu, setiap kesusahan pasti bersamanya kemudahan.
Alhamdulillah :')

Buat kita semua yang bernama hamba, yang juga diuji dan diduga, cuba kita perhatikan setiap segi dan dimensi, setiap yang hadir bersama ujian dan masalah itu.. Pasti kita akan jumpa dan temukan bukti kasih sayang Allah pada kita.
Oleh itu, Terimalah.. Sambutlah kasih sayang itu.. Dan laluilah dengan iman dan taqwa. Nescaya di hujungnya akan berakhir dengan senyum.

Tere liye 


Kehilangan kedua yang mengejutkan tanpa sebarang tanda,
Yang menyedarkan dan mengajar kami banyak perkara,
Tenanglah sayang menanti kami di sana,
Alyaa Hana Abdul Hadi (1/11/11- 24/10/19)

Tuesday, January 29, 2019

Catatan Fasa ujian

Bismillahirrahmanirrahim
Catatan ini saya tulis sebagai terapi menenangkan jiwa saat diuji. Suka saya kumpulkan dan kongsi di sini sebagai motivasi untuk saya dan kita apabila melalui fasa ujian lagi terutama ujian kesihatan. Juga sebagai peringatan untuk saya supaya sentiasa bersyukur, dan teguran saat saya leka atau putus asa dengan nikmat. Semoga bermanfaat ๐Ÿค—

Catatan Fasa Ujian 1

"it's not a good sign"
"dik, kami aturkan appointment dengan pakar kalau boleh secepatnya"

Allahu. Siapa yang tak panik.
Siapa yang tak takut.
Terbayang semua salah dan silap
Terbayang hutang yang masih belum dijelaskan
Terbayang puasa yang masih ada

Namun mereka seakan yakin tiada yang serius. Bahkan semuanya masih boleh positifkan diri.
"Buat solat Hajat taubat banyak-banyak  In shaa Allah takde pape."

Percaya pada kuasa doa.
Semuanya hanya jangkaan semata-mata
Masih ada waktu untuk berubah
Allah kata kun fayakun
Maka yakin dengan Dia,  Positif!

ุฃู†ุง ุนู†ุฏ ุธู† ุนุจุฏูŠ ุจูŠ

Perkhabaran manusia bisa dipatahkan dengan kehendak tuhan. Rahmat Allah mengajar kita untuk percaya :)

Catatan Fasa ujian 2.

 Tahu painkiller apa yang paling indah?
Saat sakit menyerang lalu hati memujuk dan berkata :

Kalau awak sabar, saat ini juga dosa awak gugur meninggalkan awak..
Lalu saat awak kembali sihat, awak seakan lahir semula..
Kembali pada fitrah suci..
Bukankah ini yang awak pohon siang dan malam?
Agar Allah ampunkan dosa awak?
Nah ini jalannya sayang..
Tinggal kita usaha untuk sabar
Ganjaran yang sangat besar untuk orang yang bersabar ๐Ÿ˜Š
 ูˆุจุดุฑ ุงู„ุตุงุจุฑูŠู†..

Lalu senyuman diukir dengan linangan air mata. Aku redha dengan ujian ini ya Allah..

Catatan Fasa ujian 3.

Alhamdulillah Allah tarik satu nikmat kesihatan buat sementara waktu, tapi Allah kurniakan banyak nikmat yang lainnya.

Punya sahabat yang sentiasa mendoakan juga satu nikmat yang terindah.

Masih punya wang untuk membeli ubat, mendapatkan rawatan satu nikmat yang besar yang patut saya syukuri.

Punya keluarga yang mendokong, yang sentiasa berusaha menggembirakan saya, yang sentiasa tanpa henti mencari ikhtiar supaya segera sembuh adalah nikmat yang tak ternilai harganya.

Dan saat ini saya sempat merasa air tangan ibu yang memasak.. Air tangan kakak, kasih sayang adik..

Juga kesempatan umur untuk saya terus menyedari akan dosa. Untuk saya segera bertaubat.. Dan menggunakan apa sahaja ruang kebaikan untuk mengumpul bekalan..

Lalu nikmat tuhan yang manakah yang saya dustakan? :')

(ูˆَุฃَู…َّุง ุจِู†ِุนْู…َุฉِ ุฑَุจِّูƒَ ูَุญَุฏِّุซْ)
[Surat Ad-Dhuhaa 11]

Catatan fasa ujian 4.

Mengingatkan banyak kerja yang tak dapat diselesaikan kerana pergerakan saya yang terbatas membuatkan saya rasa geram dengan diri sendiri.
Sehingga diri mula terfikir.. Ya Allah cepat la baik.. Banyak lagi nak buat ni, cuti dah nak habis..

Dan lagi iman menyedarkan..

ูˆุฅุฐุง ู…ุฑุถุช ูู‡ูˆ ูŠุดููŠู†
Dia yang izin kita sakit, Dia juga yang menyembuhkan
Jangan mengeluh, tetapi dekatkan diri dengan Dia
Cuba cari alternatif lain untuk buat ๐Ÿ’ช

Janganlah engkau menjadikan keletihan dan kebimbanganmu sebagai tema perbincangan, sebab dengan itu engkau telah menciptakan dinding antara dirimu dan kebahagiaan.
- Dr Aidh Al Qarni -

Catatan Fasa Ujian 5

Saat merasakan diri telah berusaha sehabisnya.. Namun hasil tidak seperti yang dijangka.. Lalu diri mula mencari di mana silapnya,  Kenapa boleh jadi macam ni..

Maka di sinilah silapnya..
Saat kita menganggap semuanya hanya bergantung pada usaha kita
Bahkan keberkatan, adab kita sesama guru, adab kita sesama rakan, maksiat yang berterusan semua itu juga mempengaruhi..
Waktu study terlalu study sehingga lupa hak waktu untuk tuhan,
Atau niat belajar bukan lagi kerana Allah..

Lalu kita seharusnya tidak bermuhasabah pada usaha saja..
Tetapi pandang lah semua segenap segi.

Kerana hakikatnya ujian itu panggilan kasih sayang Allah untuk kita yang kian jauh kembali dekat pada-Nya :)
Allah akan uji pada sesuatu yang paling kita sayang.. Supaya kita menyedari saatnya cinta ini kembali pada Dia :)

Tahniah semua ๐ŸŒˆ
Mengejar dua kemenangan
Dunia dan akhirat.

Catatan Fasa ujian 6

Mengingatkan setiap kali exam besar pasti akan sakit, kadang- kadang buat rasa geram dengan diri sendiri. Kerana saat itu tenaga sangat diperlukan untuk pecutan akhir sebelum berjuang di medan peperiksaan.

Seringkali rasa cemburu melihat kawan-kawan boleh study dengan tenang, malah mereka boleh fokus 100% tanpa gangguan. Dan saya perlu curi-curi masa saat segar, dan kembali rehat apabila sakit.

Namun sepotong ayat dari seorang senior cukup untuk mengubat segala rasa ini :

"Org baik² ni, selalu kena uji lain dari yang lain kan ๐Ÿ’ช๐Ÿป๐Ÿ’ช๐Ÿป๐Ÿ’ช๐Ÿป"

Automatik tiba-tiba saya memandang sebagai satu rahmat. Walaupun tak semua masa saya boleh belajar, tapi satu jam boleh cover banyak tajuk. Betapa efisyen masa yang Allah bagi..

Bukankah dalam kesusahan itu pasti ada kesenangan?

Seorang sahabat berpesan, katanya :

 "kita manusia ni sentiasa hidup dalam kemudahan dan kesusahan. Ada masa untuk kita senang, ada masa juga untuk kita susah. Tapi tak banyak yang menyadari bahawa kedua-duanya adalah nikmat. Allah bagi kita hidup mudah dan senang agar kita sentiasa bersyukur, apa kata Allah bagi mereka yang bersyukur? ูˆ ุณูŠุฌุฒูŠ ุงู„ู„ู‡ ุงู„ุดุงูƒุฑูŠู†

 Allah bagi kita ujian dan kesusahan dalam hidup, agar kita sentiasa bersabar. Apa kata Allah bagi mereka yang bersabar? ุฅู†ู…ุง ูŠูˆูู‰ ุงู„ุตุงุจุฑูˆู† ุฃุฌุฑู‡ู… ุจุบูŠุฑ ุญุณุงุจ"

 Nota kaki : kalau ada sesiapa yang sakit, khabarkanlah berita gembira kepada mereka.. Ganjaran dan Beruntungnya mereka. Kerana sesungguhnya mereka sangat perlukan itu untuk menguatkan mereka ๐Ÿ˜Š  

Friday, January 4, 2019

Erti Hidup pada Memberi


“Kak sol, nah!”

Saya berpaling, jelas terlihat seorang gadis bersama dua batang ais krim, tersengih sambil menghulurkan salah satu ais krim kepada saya. Lagi dua orang berdiri sedikit ke belakang, masing-masing bersama ais krim. Hari ini kami berempat keluar mencari hadiah untuk senior kami yang bakal mengadakan majlis walimahnya esok.

“Jom kita duduk kat meja tu” Ujar Hasanah. Masing- masing bersetuju tanpa berfikir panjang, semuanya keletihan ulang alik mencari kotak hadiah. Haha. Sedang kami menikmati ais krim, tiba-tiba kami disapa oleh seorang gadis berbangsa asing yang boleh bercakap melayu. Katanya nak pinjam satu minit, kami hanya mengangguk.

“Korang umur berapa ni?”

“lebih kurang 21” Hasanah yang paling dekat dengannya tolong jawab bagi pihak kami.

“ohh semua 21? You rasa I umur berapa?”

“20 kot” kini Aina pula bersuara.

“I sebenarnya umur 15, nak tengok IC?” Jawabnya sambil tertawa kecil. Kami pandang sesama sendiri dengan riak tidak percaya.

“Taklah I sebenarnya  umur 32, tak percaya kan? Okay macam ni, I datang sebagai wakil rumah kebajikan golongan kurang upaya untuk pelbagai bangsa. Kami perlukan  bantuan untuk tampung keperluan harian mereka…Jadi you pun boleh kalau nak menyumbang. Oh ya sebenarnya I umur 23” Jelasnya sambil menunjukkan gambar rumah kebajikan tersebut.

“Eh you kenapa makan cepat-cepat?, eh you kenapa pandang I macam tu?” diselangi gurauan yang menimbulkan suasana agak janggal.

Saya menarik beg, dompet dibuka, lantas not kertas dikeluarkan. Sejurus sahaja gadis itu pergi, Hasanah mula meluahkan ketidak puasan hatinya. Lagi mengejutkan saya rupa-rupanya gadis tadi merokok. Jujur, ada keraguan dalam hati sewaktu ingin memberi. “Betul ke dia wakil rumah kebajikan? Wujud ke rumah tu? Nampak macam tipu, waktu bagitau umur pun asyik berdalih je” Lalu dibiarkan sahaja segala persoalan tanpa jawapan. Cukuplah kita niat sedekah, in shaa Allah ada pahala di sisi-Nya. Pasti ada hikmah. Yakin dengan tu. Saya cuba meneutralkan diri sendiri. Segala rungutan dan bebelan mereka hanya dibalas dengan senyuman.

Hakikatnya saya juga masih mencuba untuk melawan diri :’) Percaya pada ganjaran sedekah, Solihah!

      
“ Assalamualaikum Solihah. Lama ustaz tak nampak Solihah”

Mesej daripada seorang ustaz dibuka. Saya mula mengenali ustaz sewaktu semester 1, semuanya disebabkan saya tertinggal telefon di dalam kereta ustaz. Kesannya sampai sekarang ustaz masih ingat saya.

“Waalaikumussalam. Saya baru nampak ustaz hari tu”

“ Solihah, nanti ambil subjek **h**** ya”

“Saya dah add hari tu, tapi tak dapat.  Dah penuh ustaz”

“Bagi nombor matrik, Ustaz tolong”

Allahuakbar. Mimpi apa ustaz tiba-tiba mesej saya dan menawarkan bantuan untuk tolong. Sedangkan sepanjang semester ini, ini kali pertama ustaz mesej saya. Saya terdiam. Hanya satu yang bermain di fikiran. Siapa yang maha menggerakkan hati? Apa yang Allah nak ajar saya hari ni?

Setelah tiba di asrama, saya bergegas bersiap untuk ke masjid. Hari ni pakcik Bad ada mengagihkan makanan percuma kepada semua pelajar. Moga Allah merahmati Pak cik dan keluarga, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik. Ameen

 Perjalanan asrama ke masjid mengambil masa yang agak lama. Kebetulan hari ni pagar belakang buka, boleh lalu jalan belakang. Saya membuka satu persatu group whatsapp yang tak sempat dibaca, alang-alang berjalan ni kena gunakan masa dengan baik. (acah)

“Solihah!”

Saya angkat kepala. Terlalu khusyuk membaca , tak perasan orang sekeliling. Dari jauh ustazah yang pernah mengajar sewaktu cfs dulu melambai. Subhanallah.. dah lama tak nampak ustazah, boleh jumpa hari ni. Ustazah merupakan pelajar luar negara yang mengambil master di sini, sewaktu ustazah mengajar kami lagi ustazah dah mula mengambil master.

Kami berjalan beriringan ke masjid. Masing-masing mula mengupdate perkembangan diri masing-masing. Seperti sahabat yang sudah lama tidak bertemu, jalan yang jauh tadi terasa dekat.

“Sebenarnya hari tu ustazah dah rasa nak give up dari buat master”

Langkah kami terhenti. Wajah ustazah dipandang, tidak percaya. Ustazah yang saya kenal sangat kuat orangnya. Sentiasa dengan kata-kata semangat dan satu yang semua orang akui , ustazah sangat pemurah. Malah ustazah sanggup korbankan masa rehat untuk dengar masalah kami.

“Kenapa ustazah? Lagi sikit je ustazah nak habis”

“ Sebab ustazah tak sempat. Kadang-kadang balik malam dah penat, terus tidur. Esok kerja lagi. Tapi alhamdulillah Allah permudahkan. Ustazah diberi supervisor yang sangat membantu. Pensyarah lain pun banyak tolong”

“ohh ustazah kerja lagi?”

Ustazah senyum. “ Ustazah self sponsored, yuran satu semester sahaja RM 5000. Ustazah buat home tutor tapi tu pun satu bulan paling banyak boleh dapat dalam RM 800. Ustazah sebenarnya untuk makan ustazah tak risau. In shaa Allah boleh tanggung. Cuma untuk yuran tu, sebab tu ustazah kerja lagi ”

“Allahu..Macam mana ustazah bayar yuran setiap semester?”

“ Solihah, satu yang ustazah pegang.. Yakinlah Allah tak pernah biarkan mereka yang betul-betul menuntut ilmu macam tu je. Pasti ada rezeki di mana-mana. Tugas kita berusaha dengan setiap kudrat yang kita ada dan berserah pada Dia. Ustazah pernah satu sem tu, ustazah dah tak tahu macam mana nak bayar yuran. Ada lagi RM3000 tertunggak. Ustazah dah kerja, gaji semua dah bayar. Tiba-tiba ada orang arab dia tengah cari pelajar yang ada hutang dan dia bayar semua yuran yang tertunggak. Setiap semester ada je rezeki yang Allah bagi walaupun pada mulanya ustazah sendiri risau macam mana ustazah nak bayar semua ni.” Dengan linangan air mata ustazah bercerita. 
          
 “Betul.. yang penting kita sendiri kena usaha kan..”

“Haah, usaha sampai kita rasa kita sendiri tak tahu dah nak usaha macam mana, saat tu pertolongan yang tak disangka-sangka datang. Satu lagi, jangan berhenti memberi. Memberi tak semestinya waktu kita kaya, tak semestinya dengan wang ringgit, dan tak semestinya untuk orang susah je. Kadang-kadang ada orang yang kita tahu dia kaya tapi mana kita tahu saat itu dia susah dan dia malu nak minta tolong dengan kita? Memberilah dengan apa sahaja yang kita mampu, seperti tenaga, masa, kepakaran kita. Ustazah pernah sekali tu, tolong student hs dalam Bahasa arab, dia tak dapat graduate sebab tak lulus Bahasa arab. Setiap hari ustazah peruntukkan masa satu jam untuk ajar dia tanpa bayaran sebab ustazah tahu waktu tu dia susah. Dan lama lepas tu, beberapa bulan lepas dah habis ajar, waktu tu ustazah perlukan duit, tetiba dia datang bagi sampul surat kat ustazah. Bila ustazah buka, rupanya dalam tu ada 300 us dollar. Ustazah tak pernah minta semua ni, tapi Allah bagi at the right place, at the right time”

“Subhanallah ustazah. Terima kasih sangat. Sebenarnya hari ni ada beberapa peristiwa yang berlaku, tapi bila saya dengar cerita ustazah, saya rasa macam semua puzzle saya dah terjawab.”

“Solihah kena banyak jadi manfaat pada orang. Setiap peluang yang ada untuk kita tolong orang gunakan sebaiknya, ambil dan rebut. Sebab tak semua peluang akan berulang”

**********************      
Begitu cepat Allah membalas dan menjawab segala keraguan saya sebentar tadi. Saya termenung sendiri. Kenapa ya, tiba-tiba ustaz yang saya dah lama tak contact, tiba-tiba mesej saya? Kenapa hari ni juga saya berjumpa ustazah dan bercerita tentang ini?

Inilah didikan secara direct dari Dia. Betapa saya yang tidak perlu merasai susah, tidak perlu bersusah payah mencari duit untuk membayar yuran, tidak perlu korbankan masa belajar untuk bekerja, malah tidak perlu risau dari mana sumber yang saya perlu cari untuk bayar yuran setiap semester. Bahkan saya yang dalam situasi ini masih berkira, masih berfikir, masih ragu-ragu untuk bersedekah hanya kerana kita tidak kenal siapa penerimanya. 
      
“Macam mana kalau itu sindiket? Macam mana kalau dia tipu kita? Macam mana kalau sebenarnya dia tak susah pun?”

Saya tak jumpa jawapan yang paling menenangkan selain : serahlah semuanya kepada Allah. Itu antara dia dan Allah. Siapa kita untuk menghukum sesuatu yang kita tidak nampak? Sesuatu yang kita sendiri tidak yakin? Kalau benar dia menipu, maka dia berdosa kerana memperoleh duit secara haram. Tetapi dari sisi kita, kita tetap dapat ganjaran kerana kita niat membantu dan bersedekah. Malah setiap kelebihan kita bersedekah tu tetap kita dapat. Awak, ganjaran sedekah ni sangat hebat. Hatta nabi kata bersedekahlah walau dengan separuh kurma,itupun dapat membantu kita dari seksa neraka. Lalu nikmat apa lagi yang kita dustakan? Itu baru satu. Hakikatnya bila ada yang datang meminta kepada kita, itu satu peluang memberi, satu peluang manfaat, satu ruang pahala. Kenapa kita siakan hanya kerana zhon kita?

Saya teringat seorang ustaz pernah berkata, manusia ini satu yang paling besar dalam diri dia adalah ego dan maruah. Orang yang datang meminta pada kita hakikatnya dia dah korbankan satu benda yang besar yang semua orang nak jaga. Nak datang minta tolong bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi minta duit. Cukuplah kita berpegang yang ini untuk kita menangkis zhon yang mula bertapak di hati kita.

Dan yakinlah.. Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Kita usaha untuk dapatkan duit, kita usaha siang dan malam sebenarnya bukanlah keseluruhannya dari usaha kita. Siapa yang izinkan kita untuk bekerja? Siapa yang kurniakan kudrat dan kesihatan lalu kita boleh bekerja? Berapa ramai yang kemalangan ,lumpuh patah kaki lalu terpaksa berhenti kerja? Berapa ramai yang ada keputusan cemerlang tapi tak dapat kerja? Hakikatnya semua yang berlaku kerana Allah.. Semuanya milik Dia. Kita nak kedekut dengan apa yang bukan milik kita? Kita nak berkira dengan makhluk dari pemilik yang sama? Siapa tahu Allah aturkan rezeki dia melalui kita?

Kita permudahkan rezeki orang lain, permudahkan urusan orang lain, berkali-kali Allah permudahkan rezeki kita. Cash hari ni Allah ajar. Berkali-kali saya cuba untuk daftar subjek tersebut tetapi tak dapat, dan hari ni Allah permudahkan melalui bantuan dari ustaz tanpa disangka-sangka. Tak pernah terfikir pun nak minta tolong ustaz. Benarlah ilmu itu rezeki. Segalanya dengan izin Allah.

Marilah kita semua menggunakan apa sahaja yang kita ada untuk bermanfaat pada orang lain. Cuba untuk tidak menolak setiap kali ada yang datang meminta bantuan, bantulah semampu yang boleh.
Orang yang bijak adalah orang yang menghisab umurnya untuk mengutip buahnya di akhirat nanti. Umur kian meningkat, masa kian suntuk.. Ayuh gunakan sebaiknya !

ุฃุญุจ ุงู„ู†ุงุณ ุฅู„ู‰ ุงู„ู„ู‡ ุฃู†ูุนู‡ู… ู„ู„ู†ุงุณ
Jom awak, kita sama-sama J
Mengejar dua kemenangan, kerna yang abadi itu di syurga.

*Nama dalam cerita bukan nama sebenar. Identiti dirahsiakan.      

Wednesday, August 8, 2018

Terawih dan Iftar di Masjid sekitar Selangor Ramadhan 2018


Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah Ramadhan tahun ini Allah bagi kesempatan masa,cara dan peluang untuk merasai suasana tarawih di masjid yang berbeza. Benarlah, antara yang menghidupkan suasana Ramadhan itu ialah dengan adanya pensyariatan solat sunat tarawih di setiap malam. Maka sepanjang bulan itu merupakan latihan untuk kita peruntukkan waktu malam ke masjid, beribadah, hanya untuk Dia.
 Ramai yang tanya saya, kenapa saya tak solat je di masjid UIA sepanjang Ramadhan tu? Senyum.

Ini jawapan saya :

Setiap masjid mempunyai rohnya tersendiri, pengurusan dan suasananya yang tersendiri. Waktu Ramadhan ini kita dapat lihat pelbagai usaha yang dilakukan Jemaah masjid untuk menambah pahala masing-masing. Suasana inilah yang mengasyikkan saya, suasana imam membaca ayat suci al quran dengan khusyuk,rasa tak puas dengan solat isyak ditambah lagi dengan solat tarawih. Suasana semua berlumba memberi juadah berbuka puasa kepada Jemaah lain, dan suasana semua hanya berkejar untuk kebaikan. Indah bukan? Bahkan suasana ini sedikit sebanyak membawa jasad saya seakan berada di tanah haram. Allahu rasa terubat rindu. (sampaikanlah kami ke sana ya Allah..)

Dan yang paling utama, moga tiang-tiang di setiap masjid yang saya pergi, setiap lantai yang saya sujud, dan setiap Jemaah yang saya bersalam dengan mereka menjadi saksi saya di akhirat kelak. In shaa Allah.
Jadi, suka untuk saya berkongsi sedikit sebanyak suasana tarawih dan iftar di setiap masjid yang saya pergi. Moga bermanfaat dan membantu yang lain untuk Ramadhan akan datang.

 1.      Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak.
Image result for masjid uia
gambar ihsan google huu

Suasana tarawih di sini sangat meriah kerana dihadiri oleh pelajar Uia sendiri yang datang dari pelbagai negara. Malah imamnya juga berbeza setiap malam mengikut jadual yang ditetapkan. Semuanya merupakan staf dan pelajar di Uia. Di sini solat sunat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat dan selalunya selesai pada pukul 11 lebih.

Apa yang seronok di sini ialah, setiap malam imam akan habiskan satu juzu al quran, dan akan ikut urutan malam Ramadhan. Jadi kita boleh screening dulu ayat quran yang akan dibaca malam itu, dapatkan dulu konsep dan cerita yang terkandung dalam juzu tu. Bila imam baca, terasa mengalir setiap ayat dalam darah kerana kita sudah dapat gambaran konsep ayat tersebut. Allahu terasa rindu :’)

Untuk iftar, Masjid ini sediakan 400 pax makanan percuma setiap hari. Semuanya dibungkus siap-siap lengkap dengan kurma dan air. Namun, untuk berbuka puasa makanan di sini kita perlu datang awal sebab pukul 6 petang biasanya makanan dah habis. Oh ya moreh juga disediakan, malah banyak kali McD sponsor moreh di sini hehe.

 2 .     Masjid As Syakirin, KLCC

kat sebelah ada construction, tak dapat nak ambil gambar elok-elok huu
Ini kali pertama saya merasai suasana iftar dan tarawih di sini dan sejujurnya saya begitu teruja! Saya sampai di masjid agak lewat, lagi berapa minit nak berbuka puasa. Tapi alhamdulillah makanan berbuka masih banyak dan ruang untuk berbuka juga masih ada yang kosong. Oh rupanya masjid sediakan 800 pax makanan percuma setiap hari. Iftar di sini juga dibungkus siap-siap dengan air,kurma dan juga bubur lambuk,di atur siap-siap atas tikar. Cuma kekurangannya ialah portion yang disediakan agak banyak, dan tak habis huhu.

Satu lagi keistimewaan masjid ini, sementara menunggu azan maghrib, akan ada bacaan zikir beramai-ramai. Setelah itu alunan zikir dipasang sehinggalah waktu maghrib masuk, zikirnya agak rare, first time saya dengar. Dan di sini,solat tarawih 20 rakaat, imam baca separuh muka surat setiap rakaat. Pukul 9.20 malam dah habis 8 rakaat.

 3.     Masjid Putra, Putrajaya.

Sampai sahaja di masjid ini, saya temui salah satu suasana yang saya cari selama ini. Suasana di masjid nabawi! rak kasutnya, jemaahnya, perjalananya , sama! Dan saya sangat suka lihat setiap kelompok keluarga datang berbuka puasa sama-sama di sini, Allahu amannya.. Peliharalah suasana ini ya Allah.

Masjid ini paling meriah iftarnya berbanding masjid lain yang saya pergi. Tempat iftar diletakkan asing untuk Jemaah lelaki dan Jemaah wanita. Bahkan tempat berbuka untuk keluarga juga asing. In shaa Allah selesa. Makanan di sini disediakan secara buffet dan solat maghrib dulu baru makan. Yang menyeronokkan juga, bila kita saling bertukar kuih-muih yang dibawa sesama Jemaah. Terasa bagai dah lama kenal, inilah ukhuwah ๐Ÿ˜Š

Solat tarawih di sini sangat santai, imam hanya baca beberapa ayat sahaja pada setiap rakaat. Malah bacaan imam satu persatu cukup untuk kita menghayati dan meneliti maknanya. Oh ya masjid ni sangat lawa dan sejuk.   

4.    Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ini masjid kegemaran saya sepanjang Ramadhan kali ini. Bahkan saya lebih kerap ke sini berbanding masjid UIA sendiri. Kenapa? Kerana bacaan imamnya yang sangat memukau. Alunan suara dan lenggoknya bukan seperti orang Malaysia. Indahkan apabila mendengar bacaan orang yang mengerti apa yang dibacanya, orang yang menghayati bacaannya. 
Bahkan suara imam akan bergetar setiap kali tiba pada ayat yang pedih,terhenti tahan tangis pada ayat azab, lalu diikuti tangisan makmum yang lain. Tuhan.. betapa suasana ini buat kami terasa dekat denganMU. Seakan merintih, lalu didakap penuh kasih sayang. Serius, saya tenggelam dengan bacaan imam. Malah bila saya mengaji pada juzu yang seterusnya pada siang hari, saya akan rasa tak sabar nak dengar imam baca juzu tu, rasa ternanti-nati pembawakan imam untuk juzu tu.
Dan yang saya sangat puas ialah imam baca satu rakaat satu muka surat, satu juzu satu malam, 8 rakaat selesai pukul 9.40 malam. Padat dan mampat, bertepatan dengan situasi pelajar yang ada exam waktu tu.


Selain itu, tambah nilai untuk masjid ni ialah binaannya yang sangat cantik. Rasa tak puas tengok setiap sudut, indahnya seni bina Islam. Iftar di sini juga sangat mewah. Lauknya ada tiga, ikan / telur Bersama daging / ayam , satu jenis sayur, buah dan air. Tapi makan berat selepas solat, sebelum solat masjid ada sediakan kurma dan kuih. Di sini iftar guna kongsep buffet, ada pada dua bahagian, wing A dan wing C. Cuma tempat berbuka puasa di sini agak bercampur, dan kebanyakannya terdiri daripada keluarga. First time saya datang berdua je dengan kawan, rasa krik krik, seolah-olah kami je yang bujang haha. Oh ya masjid ni ada sediakan khidmat childcare, parents boleh tinggal anak-anak mereka di sini ketika solat tarawih, akan ada yang tolong jaga. Seronok kan?

 5.      Masjid Negeri Selangor, Shah Alam




Ini masjid yang paling memukau bagi saya. Bahkan setiap kali tutup mata ,masih terngiang-ngiang bacaan imam pada setiap rakaat. Bayangkan, sepanjang 20 rakaat solat tarawih, imam bertukar sebanyak tiga kali. Imam pertama, pembawakannya seperti kebiasaan pelajar tahfiz, tenang dan lancar. Masuk rakaat ke 8,imam bertukar. Imam yang kedua suara dia makin up, lagi power dari sebelumnya. Auranya berbeza, cukup membuatkan makmum menangis bila tiba ayat yang menyentuh jiwa. 
Masuk imam ketiga, Allahu seakan berada di dunia lain. Pertama kali, saya menangis di setiap alfatihah di setiap rakaat. Pertama kali saya merasakan ,”tuhan, indahnya aturanmu..al fatihah ini kau susun kami baca setiap hari”
Pertama kali al fatihah begitu menusuk jiwa. Nak tahu kenapa?

Bismillahirrahmanirrahim..Imam memulakan al fatihah dengan nada biasa.

“Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,Yang menguasai hari pembalasan..” Imam teruskan dengan nada kita memuji orang penuh ikhlas.

“Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan” Imam sambung dengan nada merayu penuh harapan. Seolah-olah itulah satu-satunya peluang kita merayu, merayu pada satu-satunya harapan yang kita ada. Saya dibawa hanyut  bersama suasana.

 “Tunjukilah kami jalan yang lurus” Imam membaca dengan penuh penghayatan.Ayat inilah kemuncaknya. Air mata saya pecah. Sepenuh-penuh harapan kita meminta pada Allah.. Ihdina sirotol mustaqim..Tunjukilah ya Allah..

 “(yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”. Tak cukup itu, kita perincikan lagi permintaan kita.

Ameennn..Bergema satu masjid, auranya luar biasa. Air mata makin deras. Subhanallah nikmatnya..

Usai tarawih 20 rakaat, bilal akan baca zikir ya latif. Pertama kali juga saya dengar irama sebegitu, kami semua terpukau. Usai doa, sekali lagi bilal membaca selawat dengan alunan yang sangat merdu, lalu kami semua Jemaah bangun dan bersalaman sesama kami. Sungguh, suasananya begitu hidup dan membahagiakan.

Iftar di sini juga sangat meriah. Makanan disediakan untuk semua Jemaah, malah siap ada khemah yang dipasang di tepi masjid. Kebetulan saya pergi ketika 10 malam terakhir Ramadhan, jadi kami beriktikaf di sana. Sepanjang malam masjid sangat hidup. Ada yang mengaji, ada yang solat sunat. Sampai saya tak sedar hari dah lewat malam. Suasana qiyam di sini juga sangat seronok, bacaan doa imam pagi tu cukup buat semua makmum teresak-esak. Sahur juga disediakan oleh pihak masjid.


6.      Surau Al Mawaddah, seksyen 7 Shah Alam.

Ini surau yang terakhir sempat saya pergi sebelum pulang ke Terengganu. Surau ini sangat meriah, makmum penuh sampai ke belakang. Dan malam itu imamnya dari Syria. Saya masih ingat bacaan qunut imam yang sangat panjang dan syahdu. Rasa tak puas berdoa.
Surau ini juga sediakan iftar, 600 pax setiap hari. Adakala solat tarawih dilakukan 8 rakaat disusuli tazkirah. Selebihnya solat tarawih dibuat 20 rakaat.

Alhamdulillah sekadar ini perkongsian yang dapat saya kongsikan, untuk rasai sendiri bagaimana, jom kita ke masjid :)
semoga Allah melindungi suasana ini, dan semoga kita semua diberi peluang merasainya lagi pada Ramadhan akan datang. Allahumma ameen.
Inilah tarbiyyah Ramadhan yang dirindukan saban malam :’)