Followers

About Me

My photo
Cahaya yang baik- semoga menjadi hamba,anak dan pelajar yang solihah..juga prof.dr. yang solihah...in shaa Allah. Seek only to give and you will receive :)

Friday, July 10, 2015

REDHA #3

REDHA #3

Julai 1973

“Seorang bayi tidak dilahirkan ke dunia ini melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”

Rahimah atau nama sebenarnya Ju An Fong menapak laju. Dia akan lewat sampai ke sekolah jika terus berlenggang. Kasut putih yang telah bertukar warna sedia berkhidmat pada tuannya. Kebiasaannya, Rahimah akan keluar dari rumah pada jam 6.30 pagi. Namun hari ini dia agak lambat kerana dia perlu membungkus semua kuih untuk dijual memandangkan Mak kiah tidak berapa sihat. Kuih-kuih tersebut akan diletakkan di kedai makan berdekatan rumah, selebihnya dibawa ke sekolah untuk dijual pada rakan-rakan yang lain.

“Eh, kau tengok budak mata sepet tu. Budak ini lah yang mak dia tinggal pada Mak Kiah tu. Ada ke patut, Mak Kiah yang dah tua disuruhnya jaga makan pakai budak ni. Entah dari mana-mana datangnya.”

“Oh, inilah anak si Ju Lien tu ye. Dah besar budak ni. Aku pun tak tau lah apa yang si Ju Lien tu fikir. Tergamak dia tinggalkan anak sendiri. Memang dasar orang asing.”

Rahimah hanya memasang telinga,mendengar perbualan dua orang wanita di gerai makan tersebut. Hai, manusia memang mudah menghukum. Berita yang didengar terus disebarkan tanpa diselidik dahulu asal usul kesahihan cerita. Semuanya seronok menjadi pengulas seolah-olah lupa hidup ini ibarat roda, kadang-kadang kita berada di atas dan tak kurang juga kita berada di bawah -  tidak mustahil cerita yang disebarkan suatu hari nanti akan menjadi salah satu episod hidup mereka.

‘Ah lantaklah mereka nak kata apa. Yang penting aku sayang opah dan aku tidak kenal siapa perempuan yang bernama Ju Lien itu. Apa yang aku tahu,dia ibu kandung aku yang berbangsa cina dan terpaksa tinggalkan aku atas sebab tertentu. Dan aku, aku percaya ibu tak akan tinggal aku saja-saja’ Bisik Rahimah di dalam hatinya.

“Makcik, saya bersyukur dengan kecukupan yang tuhan kurniakan kepada saya dan opah. Terima kasih.” Rahimah memotong perbualan mereka sebelum beredar. Ringkas namun penuh dengan makna tersirat.

******

Papan kenyataan sekolah ditatap. SENARAI NAMA PELAJAR YANG LAYAK KE MRSM. Rahimah mencari-cari namanya. Matanya tertancap pada nombor tiga belas – Rahimah Binti Abdullah – Sains Tulen.

‘Alhamdulillah, akhirnya impian aku dikabulkan. Cuma, aku kena berpisah dengan opah. Mampukah aku? Hai, Rahimah dah besar,Rahimah boleh boleh boleh !!’

Petang itu Rahimah pulang bertemu opah dengan sengih yang tak lekang dari wajah. Berita gembira itu dikongsi bersama opah tersayang – opah hanya tersenyum bangga dengan cucu angkatnya. Tidak ramai yang berpeluang ke pusat pengajian tersebut apatah lagi yang ditawarkan bersama pembiayaan pengajian secara percuma. Dalam kampung mereka, hanya Rahimah yang terpilih. Kata orang, wakil kampung.

“Opah, nanti Rahimah masuk sekolah tu, Rahimah kena duduk asrama.. Jauh dari opah. Opah okay ke?”

“Aih..opah okay je. Rahimah jangan risau lah. Opah minta maaf tak dapat sediakan keperluan yang diperlukan untuk ke sana.. maaf ye cu.”

“ala..opah tak payahlah minta maaf. Rahimah boleh buat sendiri. Nanti Rahimah jahit sendiri ye opah. Hehe”

Mak Kiah hanya tersenyum. Sesekali dia terbatuk-batuk. Hayatnya benar-benar dah di penghujung.Bila-bila masa sahaja ajal akan menjemput. Gerak geri Rahimah diperhatikan dengan pandangan yang sayu. Anak ini sangat berdikari orangnya. Segala keperluan disediakan sendiri. Baju, kain, malah bekas pensil semua dijahit sendiri. Tidak pernah sekali pun Mak Kiah berasa terbeban dengan kehadiran Rahimah di dalam hidupnya. Air mata tua diseka perlahan. ‘Doaku,semoga kamu bertemu bahagia dalam hidupmu sayang’ bisik Mak Kiah di dalam hati.

September 1975

“Rahimah, Puan Syahidah nak jumpa sekarang” Mona menyampaikan pesan.

Rahimah yang begitu tekun menyiapkan latihan Matematik Tambahan mendongak.

“Kenapa?”

“Entah, katanya ada perkara penting.”

Rahimah mengangguk. Dahinya dikerutkan. Kenapa Puan Syahidah nak jumpa aku ek? Buku latihan ditutup,lantas langkah diatur ke pejabat puan Syahidah. Puan Syahidah – pengetua Maktab Rendah Sains Mara Pontian seorang yang sangat penyayang. Tutur bicaranya, nasihat berharganya mengingatkan Rahimah pada opah. ‘Ah opah. Apa agaknya khabar opah..Opah,rahimah rindu sangat..’ lirih Rahimah. Hampir enam bulan tidak menatap wajah opah membuatkan rindunya membuak-buak.

Tok tok.

“Masuk”

“Assalamualaikum puan. Puan nak berjumpa dengan saya?”

Sopan Rahimah bertanya sesudah memberi salam. Pesan nabi, sebarkanlah salam. Sesungguhnya salam itu doa.

“Waalaikumussalam. Em Rahimah, duduk dahulu. Ok baik. Sebenarnya saya ada dua perkara yang saya nak bagitahu kamu. Satu khabar gembira dan satu lagi khabar menuntut kesabaran kamu.”

Satu-satu Puan Syahidah menerangkan pada anak didik kesayangannya itu.

“ Er ok puan. Saya sedia untuk terima apa sahaja khabar tersebut”

Tenang Rahimah..tenang Rahimah..

“Macam ni, kamu ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke Universiti Of Adelaide Australia. Pihak Mara berminat untuk menaja pelajaran kamu memandangkan prestasi kamu di sini sangat cemerlang.Tahniah Rahimah, saya bangga dengan kamu”

“Alhamdulillah..terima kasih puan.. Lagi satu berita, berita apa ye puan?”

“Harap kamu bersabar, saya dapat panggilan dari anak Mak Kiah.Katanya, opah kamu dah pergi meninggalkan dunia sementara ini subuh tadi..sabar ye sayang..”



~ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati~

Bersambung…

Tuesday, July 7, 2015

Ujian itu nikmat :)

Bismillahirrahmanirrahim..

"Ya Allah,jadikanlah aku hamba yang dekat dengan-Mu"

Alhamdulillah, mungkin ini cara atau wasilah yang Allah kurniakan supaya saya dekat dengan-Nya.

Hari ini, genap lima hari kesihatan saya diuji. Bermula dengan selesema, batuk, demam, pening, semput, sesak nafas. Tambah dengan masih dalam proses menyesuaikan diri di tempat baru.

Akhirnya baru saya perasan, mungkin ini jawapan dari Allah untuk permintaan saya di atas. Sebab,

Setiap kali tengok cermin, nampak muka yang pucat, maka kita akan terdetik "Ya Allah, matikanlah aku dalam husnul khotimah"

Setiap kali tekak tak boleh terima makanan sedangkan kita lapar, "Ya Allah, terima kasih atas nikmat makan yang kau kurniakan.."

"Setiap kali semangat berkobar untuk study, revise namun kepala berpusing, berat dan sakit "Ya Allah..ku mohon kekuatan dari-Mu"

Setiap kali hati melonjak untuk berjemaah di rumah-Mu namun dek bilik tinggi dan jauh, nanti sesak nafas,semput "Ya Allah... bantulah aku untuk istoqamah beribadah pada-Mu"

Setiap masa, Allah dalam ingatan apabila satu nikmay sihat diuji..Alhamdulillah, tarbiyyah ramadhan kali ini.. benarlah, ujian itu sebenarnya nikmat :) buat mereka yang percaya :):)

Tuesday, June 30, 2015

REDHA 2

REDHA#2

April 1959

Tangisan anak kecil yang masih merah meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya apatah lagi si ibu yang mengandungkan dan melahirkan. Anak ini seakan mengerti dia bakal berpisah dengan ibu dan bapa kandungnya – perpisahan yang memeritkan. Air mata yang mengalir diseka pantas. Ibu mana yang tak sedih berpisah dengan anak?  Anak yang berkongsi makanan,minuman dan perasaan selama Sembilan bulan terpaksa ditinggalkan kepada rakan baiknya di Johor. Kejam? Ahh.. dia tidak kisah apa sahaja pandangan  masyarakat padanya, yang penting anakanya selamat. “ Kalau mereka kata aku kejam, kerajaanlah yang kejam” cemuhnya di dalam hati.

Ju An Fong terus terlena saat didakap dan dibelai ibunya. Hangat, terasa kasih sayang yang mengalir meski buat kali yang terakhir. Perlahan-lahan bayi suci ini diletakkan di atas tilam lusuh milik anak-anak sahabat baiknya. Aku yakin ini pilihan yang terbaik.

“Terima kasih Fatimah. Kaulah sahabat yang banyak bantu aku sepanjang di Malaysia ini. Aku harap, anak ini dijaga dengan baik, anggaplah dia macam anak kau. Aku terpaksa balik, keluarga aku di sana lebih memerlukan.”

“Kau sahabat aku, mestilah aku bantu. Pulanglah dengan tenang. Jangan risau, aku akan jaga anak kau macam anak aku sendiri.”

Dan dua sahabat berpelukan dengan penuh syahdu. Andai ini perjumpaan yang terakhir, saksikanlah mereka benar-benar telah menghayati erti persahabatan yang sebenar walaupun berlainan bangsa dan agama. Pemergian Ju Lien ke tanah airnya, singapura dipamit lemah. Fatimah mencuba sebaik yang boleh mempamerkan riak senang, walau hatinya dilanda badai resah. Selamat tinggal sahabat, maafkan salah dan silap aku.

Susuk badan Ju Lien telah lama hilang dari pandangan. Namun, Fatimah masih merenung bayi di hadapannya. Jauh. Ada riak resah pada wajahnya. “Allah, macam mana aku nak besarkan bayi ini, sedangkan anak-anak aku pun cukup-cukup makan je. Apa yang perlu aku jawab pada suamiku sepulangnya nanti? Siapa yang nak tengok-tengokkan ketika aku bekerja ?” Pelbagai persoalan berlegar-legar di minda Fatimah.

Ju Lien.. Wanita Cina kelahiran Singapura itu telah banyak membantunya. Bermula bantuan kewangan sehinggalah mendapatkan pekerjaan untuknya. Oleh sebab itu Fatimah tidak sanggup menolak permintaan Ju Lien untuk membesarkan anak perempuannya walau dia sendiri masih buntu.

“Apa yang kau duduk tenung bayi tu Fatimah? Anak siapa ni?” Mak Kiah, ibu kepada Fatimah muncul dari belakang rumah.

“ Em macam ni mak. Ini anak Ju Lien, wanita cina yang dah banyak tolong Timah tu. Dia terpaksa balik Singapura tetapi kerajaan Singapura tak benarkan rakyatnya mempunyai lebih dari dua orang anak. Ini anak dia yang ketiga, keluarga dia semua suruh dia gugurkan anak ni dulu. Tapi Ju Lien tak sanggup, sebab tu dia datang ke Johor atas alas an bekerja dan tinggalkan anaknya sebulan selepas dilahirkan.”

Panjang Fatimah menceritakan keadaan yang sebenar kepada ibunya. Sebenarnya dia kagum dengan Ju Lien. Walaupun Ju Lien tidak beragama Islam, namun sifat kasih seorang ibu begitu menebal di dalam dirinya. Dia lebih sanggup membawa diri jauh dari keluarga semata-mata untuk menyelamatkan satu nyawa. “Anak ini tak bersalah Timah, aku nak jaga dia sampai dia lahir” kata-kata Ju Lien tujuh bulan yang lalu terngiang-ngiang di telinganya.

“Allah..kesian budak ni. Habis tu, kenapa kau termenung Timah? Macam ada masalah je mak tengok”

“Mak pun tahu, Timah bekerja pagi sampai petang. Duit Timah pun cukup-cukup untuk anak-anak Timah je.Macam mana Timah nak jaga budak ni mak? “ Adu Fatimah.

“Macam nilah.. biar mak yang bela budak ni.”

“Er betul ke ni mak? Mak bukannya kuat sangat lagi..”



~Dan tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan terjadi esok~

Bersambung…

Thursday, June 25, 2015

REDHA #1

REDHA #1

Matanya dihala ke depan, jauh sejauh mata memandang. Angin lembut dibiarkan menyapa pipi kasarnya. Tubuh ini telah dimamah usia, 65 tahun berbakti kepada tuannya tanpa menghiraukan penat dan lelah. ‘ Huh ‘. Wanita itu mengeluh perlahan. Dunia hari ini terlalu berbeza jika dibandingkan 20 tahun yang lalu. Manusia sudah hilang sifat malunya. Malah semakin ramai yang berhati binatang, akal yang dikurniakan diletakkan di kaki – tidak dimanfaatkan nikmat yang tuhan beri.

Senyuman kecil diukirkan saat melihat pacuan empat roda berwarna merah memasuki simpang menuju ke perkarangan rumah. Hari ini, anak dan menantunya telah berjanji untuk pulang, mengisi cuti seminggu memandangkan musim cuti persekolahan telah tiba. ‘Ah, rindunya pada Si Banyak mulut,Amirah. Si Gentleman, Muaz ’. Dia mengadu sendirian. Lantas langkah diatur ke muka pintu, menyambut kepulangan insan yang dinanti.

“Assalamualaikum tok wan, tokwan sihat ke? Amirah rindu sangat dengan tok wan…” Amirah merengek manja. Tangan tok wan dicapai lembut lantas disalam dan dicium penuh hormat.

“ Yelah.. Amirah dah lama tak balik tengok tok wan. Tokwan ingat Amirah dah lupakan tokwan. “ Ujar tokwan sambil berpura-pura merajuk.

Pinggang tokwan dirangkul lalu dipeluk. “Mana ada Amirah lupa. Tokwan sentiasa di hati Amirah tahu.. hehe”

Tokwan hanya tersengih mendengar jawapan cucunya. Simpulan rindu telah terurai.

“Ummi apa khabar? Yah tengok ummi macam makin kurus je “ Sofiyyah, anak bongsu perempuannya menegur.

“Alhamdulillah sihat. Biasalah nikmat makan Allah dah tarik. Ummi dah tua,tak selera sangat nak makan.”

“Ummi tak boleh ikut selera macam tu, ummi kena makan. Em ummi, Yah ingat nak buat kenduri tahlil untuk arwah abah sabtu ni. Abang Hanif pun setuju. Boleh kan ummi?”

Tokwan  tersenyum sambil mengangguk. Azan Asar yang berkumandang mematikan perbualan mereka. Sofiyyah bersama keluarganya menapak ke bilik, merehatkan diri sebentar setelah seharian berada di dalam kereta. Solat asar telah ditunaikan dalam perjalan, jamak ke dalam waktu zohor. Tokwan masih di ruang tamu. Bingkai gambar yang terhias di meja sisi diambil lalu ditatap. Dalam dan penuh makna.

 Abang, anak-anak kita semua sudah besar. Mereka semua sudah mempunyai kerjaya dan rumahtangga masing-masing. Mereka membesar menjadi permata yang soleh dan solehah. Terima kasih abang atas tinggalan permata ini. Tenanglah kamu di sana wahai suamiku. Tidak sabar rasanya untuk aku mengikuti jejakmu. Kita berjumpa di syurga ya abang. 



~ Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu dustakan? ~

Bersambung…

Dari hati buat hati

Hati diselubungi rasa takut
tak keruan tak menentu
kecewa dan sedih
seakan dunia terlalu kejam
Bahkan isinya seakan memandang hina..

Ahh.. penyakit hati masih merajai
Dan kau masih tewas dengan zhon
Meracuni setiap roh positif yang mengalir
Membengkak membuahkan penyakit baru,
Futur untuk berkorban
Berhenti dari memberi

Apakah kau lupa,
Tuhan itu tidak pernah kejam
Tidak pernah kering rahmat-Nya
Dan tidak pernah menzalimi hamba-Nya
Malah tuhan telah berjanji "faiza saalaka 'ibadi anni fainni qorib"
Maka nikmat mana yang kau dustakan?
Janji tuhan mana yang kau ragukan?

Berhentilah memikirkan urusan tuhan
cukuplah kau melunaskan kerja hamba
yang sentiasa percaya pada ganjaran
percaya pada aturan
percaya pada hikmah segala
kerana kau tidak akan pernah rugi
berharap dan bergantung pada rabbul izzati

Sayang,
berpeganglah..
Fala taiasu min rauhillah
wala taqnatu min rahmatillah
infiru :)

Sunday, June 21, 2015

Jangan berhenti melangkah :)

Sehingga satu saat,
Kau rasakan semuanya sudah terlambat.
Waktu dirasakan semakin jauh ke depan,
Dan kau masih di takuk yang sama.
Termangu, ternganga.

Diri mula tidak keruan
Resah dan gelisah
Arghhh..
Tiada guna tangisan itu
Jeritan batinmu  menyesakkan
Teriakan itu menyucuk jiwamu.

Lantas sepatutnya sesalan itu dibimbing,
Gunakan saat yang masih ada
Sebelum terlambat
Sebelum sesalan kian membukit
Dan batinmu kian terseksa

Ayuh.. aturkan langkah
Manfaatkan waktu
Cukuplah
 kau di takuk itu
Cukuplah..
Kerana kau selayaknya jauh ke depan

Monday, June 15, 2015

Cabaran berpuasa di tanah haram

Bismillahirrahmanirrahim. Kisah ini saya kongsi, moga-moga ada manfaatnya. Dan saya berlindung jika maklumat yang disampaikan ada yang salah perhitungan.

Sejak di Malaysia, kami dah pasang cita-cita. Jom kita puasa di tanah haram tak kisah sama ada mekkah atau madinah. Namun disebabkan kami hanya berada di madinah tiga hari, dan keadaan tidak mengizinkan, jadi kami lanjutkan hasrat kami sehingga ke makkah.

Hari isnin dipilih memandangkan dalam jadual tiada ziarah luar diadakan. Sekadar aktiviti bebas, tak kisah nak buat apa. Jadi pagi tu kami bangun sekitar pukul 2 pagi, ambil turn mandi, tandas ad satu. Boleh tidur dulu sambil tunggu org mandi.. hihi
Sahur dan bersiap ke masjid. Pagi tu alhamdulillah diberi kesempatan memasuki hijr ismail.menunaikan solat 4 rakaat. Subhanallah, tak dapat nak gambarkan macam mana tenangnya rasa merebahkan muka ke tempat mulia,saat sujud rasa lantainya yang sejuk.Mula2 nmpk macam penuh, tapi dalam hati mintak Allah mudahkan, Alhamdulillah ade ruang.
Balik kami terus tidur, jetlag tak habis lagi.. adoi..
Yang melengkung tu hijr ismail. Ni gambar waktu maghrib isyak, pagi tu orang kurang sket je dari ni.

Dan... pengembaraan bermula.. aiseh. Konon nak tidur sekejap je, sekali kami terlajak. Jadi bergegas bangun dan bersiap untuk  pergi masjid. Tak boleh lambat, sebab pintu dah jauh dan cepat tutup sejak projek perluasan dijalankan. Jadi tengah hari yang terik tu kami redah.

Lepas solat, sambung tadarus sama2. Ummi dan kakak2 saya semua nak ke tandas, saya pilih untuk tunggu di masjid sahaja. Lepas tu diorang datang dengan muka yang penat cakap "alah, semua selipar hilang. Tinggal selipar ummi je. "

Owh.. saya angguk je.. haha. Tak tau nak rasa ap. Lepas tu baru terfikir. Alamak. Nanti nak balik macam mana. Cadang nak berbuka kt masjid, tp makanan utk berbuka pn takde lagi..

"Habis tadi pergi tandas macam mana?"
"Kaki ayam..hoho. Sampai satu tempat macam nak melecur kaki sebab panas."

Jadi akhirnya kami decide, saya kena balik bilik untuk ambil kasut (kasut yang dipakai dalam perjalanan ke sini. Tak sesuai untuk dibawa ke masjid.) Kakak dan ummi tunggu di masjid sementara saya ambil kasut. Tapi saya kena tunggu adik dulu untuk balik sama-sama sebab tak berani balik sorang, takut sesat. Huhu macam mengada kan, eh bukan mengada, tapi sebagai langkah berjaga. Ceh bnyk pulak alasan. * monyet tutup mata*

Lalu sekali lagi kami meredah terik cahaya matahari. Sampai di hotel orang dah penuh depan lift. Lift pulak susah nak jumpa dekat lain, istimewa di hotel ni je. Hoho, sebab hotel ni ada pintu kt luar. Kena tarik pintu baru boleh masuk. Pastu klau kita tingkat 5, dia akan tekan sekali tingkat 7,10. Jadi terpaksalah kita berhenti setiap tingkat sebelum sampai ke destinasi. Sebab tu lift ni setiap kali orang naik, orang lain kena tunggu lama lagi. Haha panjang pulak cerita pasal lift ==". Saya ajak adik saya panjat tangga, sebab takut lambat tapi sebenarnya dua2 dah penat, ibarat klau kereta minyak tu tinggal satu bar lagi. Tujuh tingkat kot nak naik. Huhu. Akhirnya sampai ke bilik, dan turun guna tangga.

Kemudian, lepas dah bagi kasut kat semua orang, kami pergi mall depan masjid. Al bayt shopping center. Misi kami ada dua, beli selipar dan makanan untuk berbuka. Kami naik tingkat tiga,pusing sana,turun balik setingkat, baru jumpa selipar. Pastu tengok harga, erk 45 riyal, 55 riyal, 29 riyal. Semua selipar ni macam selipar getah kat Malaysia yang dalam harga RM 10-15 sahaja.. ==" patut lah selipar kat sini orang selalu pinjam tak bagi balik,mahal rupanya. Huhu

Lepas dah siap misi pertama. Kami proceed dengan misi kedua, cari juadah untuk berbuka. Sekali lagi naik setiap escalator, sampai tingkat atas sekali, turun balik guna lift. Hoho. Baru jumpa foodcourt. Masa tu semua dah heret kaki. Lampu minyak dah berkelip2. Kami kehausan. Tengok orang minum air zam zam pun telan air liur. Adik saya kata tengok plastik maggi pun terliur. Haha

Dan kami balik ke hotel. Tak jadi berbuka kat masjid sebab dah lewat sangat dan kami pun dah pancit.ulang alik tengah panas banyak kali.Sampai bilik semua cepat2 hidang makanan. Adik saya buat countdown

"2 minit lagi, 1minit lagi"

Saya dah angkat tangan,ready nak baca doa kalau orang azan.

Haha. Kelakar pulak bila ingat balik, tak pernah sampai tahap macam tu tak sabar nak berbuka. Hari tu nikmat berbuka yang paling indah yang saya pernah rasa.

Benarlah, antara dua nikmat yang dirasai oleh orang berpuasa ialah nikmat berbuka.

Ada hikmah selipar hilang, kami dapat rasa nikmat sebenar berbuka puasa ;)
Sekian pengembaraan kami :D


Jalan ke tandas dari hujung bangunan ke hujung bangunan. Lantai sangat panas waktu tengah hari.