Followers

About Me

My photo
Cahaya yang baik- semoga menjadi hamba,anak dan pelajar yang solihah..juga prof.dr. yang solihah...in shaa Allah. Seek only to give and you will receive :)

Sunday, December 13, 2015

14.12

" Ibu dan ayah imam As Syafie mula membentuk didikan untuk anak mereka empat tahun sebelum kelahiran imam As Syafie"

Saya terdiam mendengar motivasi pagi yang bersiaran di ikim. Lantas butang volume ditekan- kedengaran suara ustaz dengan lebih jelas.

"Ayah imam syafie menjaga tingkah laku, menjaga pandangan,menjaga hubungan dengan tuhan,menjaga al quran bermula sewaktu usia mudanya,bukan sewaktu isterinya mula mengandung"

---Kerana didikan dan peribadi ibu bapa,membentuk personaliti anak pada masa akan datang. Maka ibu bapa yang hebat, melahirkan generasi yang hebat

Saya merenung diri saya.. Allahu.. sesungguhnya ibu bapa itu adalah anugerah yang tidak ternilai..

Terima kasih abah, dengan didikanmu, pengorbananmu, tingkah lakumu, membentuk alah yang hari ini. Walau alah hanya mengenali perbadi,sifatmu dari cerita orang lain, namun alah bersyukur dengan didikan yang abah berikan.. terima kasih... :')

Ya Allah, ampunkanlah dosa kami..dan pertemukanlah kami kembali di syurga-Mu

Selamat hari lahir abah..

Al fatihah
hati merintih...rindu..



Sunday, December 6, 2015

Tinggalkan aku

Puas aku menolak
Namun kau tetap merintih
Memujuk rayu
Agar aku terus bersamamu

Puas aku menidakkan
Keperluanmu untuk aku itu tiada
Cukuplah dulu aku terleka
Harap kau mengerti

Andai waktu bisa diundur,
Takkan ku biarkan kau hadir
Meski hanya bayanganmu
Menjengah walau seketika

Andai keputusan yang kau pinta
Pilihan aku hanya satu
Jauhkan dirimu dari aku
Hentikan penyeksaanmu buatku

Namun aku akur pada norma hidup
Waktu yang berlalu takkan kembali
Kini yang tinggal hanya sesalan
Bersama azam dan semangat baru..

Aku ingin Berubah!

Maka,
Kisah silam..
Dosa dulu..
Ku mohon kau pergi..
Biarkan aku di sini
Bersama aku yang baharu.

Bantu aku,
Menghampiri Yang Satu.

Bintun Isa Rohana

Thursday, November 5, 2015

Depan

Bismillahirrahmanirrahim..

Cuti semester yang lalu saya habiskan masa di rumah bersama ummi. Membina lebih banyak memori bersama :)

Namun pada cuti kali ini ummi sibuk dengan kertas-kertas periksa akhir semester pelajar uitm yang perlu ditanda. Menjadi seorang pensyarah statistic, yang perlu menanda pelbagai bentuk graf, menyemak nombor antara bidang kerja yang mencabar.

Maka dua tiga hari cuti saya akan mendengar pelbagai cerita dari ummi sepanjang menanda kertas. Cerita lecturer yang mencuba pelbagai cara untuk menambah markah studentnya, lecturer perlu buat report kenapa student dapat markah sekian sekian..dan satu cerita mengubah saya untuk semester dua. Suka untuk saya berkongsi di sini.

_____

" separuh student kelas ni fail. "
Suara ummi memecah keheningan suasana.
" hurmm tapi ummi memang dah dapat agak dah" sambungnya lagi.

Aku berpaling memandang ummi.
"Kenapa ummi?"

" sebab diorang takde adab."

Ok menarik. Aku mula menarik kerusi, duduk berhadapan ummi - bersedia untuk mendengar kisah selanjutnya.

" Alah bayangkan. Ummi masuk kelas sebesar dewan. Pelajar semua duduk di belakang kelas, tinggal dua line kosong kat depan. Ummi panggil duduk depan, takde sorang pun bangun. Ummi panggil kali kedua, sama. Semua krik krik - kaku di tempat masing-masing. "

Erk.. telan air liur. Dulu aku juga pernah mengelak untuk duduk di hadapan.

" ummi kata dalam hati 'kurang ajar betul budak-budak ni. Nampak macam takde semangat langsung nak belajar "

Allah.. macam tu rupanya apa yang lecturer rasa.

"Lepas tu ada satu hari, meja dalam kelas dah disusun untuk ujian. Jadi susah untuk ummi berjalan sambil mengajar. Jadi ummi minta tolong student alihkan meja. Takde sorang bangun, semua tengok je ummi alihkan meja kat depan. Tengok sekarang ni, separuh tak lulus."

Nah. Aku terdiam mendengar cerita ummi. Kita tak tahu apa yang berlegar di hati mereka dengan setiap perbuatan kita. Dan sebenarnya perlakuan kita dalam kelas,adab kita bersama guru menentukan siapa kita.

Satu langkah mudah untuk diri kita masuk kelas, terus pilih tempat di hadapan, selain kebaikan-kebaikan duduk depan yang lain :

- fikirkanlah perasaan dan situasi lecturer. Apa perasaan mereka apabila mereka dengan semangat yang berkobar-kobar masuk kelas untuk mengajar, tengok lompong di barisan hadapan? sebaliknya pelajar penuh ke belakang.Maka mereka perlu menguatkan suara supaya semua pelajar dapat dengar. Sedangkan  bukan satu kelas sahaja yg perlu diajar, ada beberapa kelas. Kadang-kadang dalam satu hari ada 5-6 jam lecture. Dan kalau semua kelas jenis penuhkan bahagian belakang, alamatnya keringlah suara mereka.

Fikirkan...

--------

Sebenarnya duduk di depan banyak kelebihan, untuk mereka yang betul-betul cintakan ilmu :)

Sekian untuk satu pengajaran. Kadang-kadang benda kecil yang kita rasa remeh sebenarnya memberi impak yang besar. Tempat duduk? Well, sebenarnya ia melambangkan adab :)

Jom berubah !

Friday, October 16, 2015

Hijau

"Assalamualaikum.. ni nur solihah ko?"
Terdengar suara perempuan berdialek kelantan di hujung talian.

"Ya saya."

"Okay gini. Awok ado bagi namo untuk sukarelawan esok ko?. Namo awok ado dale kump kutipan ni. "

" owh minta maaf akk. Hari tu saya dah cancel nama sebelum taklimat"

" okay, kiranya awok tokleh mari la esok"

" haah, minta maaf akk.."

"Okay takpe"

Hati merintih ingin turut serta. Apatah lagi nama saya sudah diletakkan bersama kumpulan sukarelawan. Allah, tinggal satu perbuatan sahaja, saya dari terengganu pergi ke sana. Ingin sahaja saya jawab 'ya saya dapat hadir'. Namun apakan daya, taat kepada ibu selagi tidak bertentangan dengan syara' itu hukumnya wajib.

Walaupun hati dan jasad saya di terengganu, namun semangat saya terbang bersama mereka, di celah-calah lautan hijau.

Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka pada esok hari..semoga matlamat himpunan dicapai dan diredhai Allah..

Jika tidak dapat menyumbang tenaga dan penyertaan,cukuplah dengan menyumbang doa..

P/s : Nak pinjam pintu doraemon T_T

#fastaqim60K

Friday, September 4, 2015

Impian

Bismillahirrahmanirrahim..

Semangat berkobar-kobar sekembali dari talk 'the power of IRK students'. Saya diterangkan dengan major dan minor dalam bidang ini. Kos yang boleh dipilih untuk double degree.

Untuk major, memang dari dulu lagi, kalau orang tanya saya nak amk apa,saya akan jawab saya nk amk fiqh. Tapi selepas mempelajari subjek Islam and other religion, timbul minat untuk menceburi usuliddin dan perbandingan agama.

Dan untuk minor. Ada lima pilihan. History, sosiology,phsycology,communication and political science. Kalau dulu saya dah set mind,nak amk major in fiqh dan minor in phsycology. Tetapi bila dah didedahkan dengan kos minor yg lain, hati mula taraddud. Bak kata ummi "biasa la perempuan kan ada 9 nafsu.semua dia nk bljar" haha.

Namun,dalam banyak2 yang saya pening,satu yang saya pasti. Impian untuk belajar bahasa arab takkan pernah saya lupakan.

Dan ini impian saya --- mengambil kursus bahasa arab di universiti ummul qura makkah al mukarramah.

Setakat yang saya survey,ada kursus selama empat bulan dan ada yang selama 40 hari. Kos pengajian percuma dan elaun diberi.

Dan selepas saya nyatakan hasrat pada ummi untuk mengambil kursus bahasa, ummi kata "kalau alah amk kursus bhs,ummi nk ikut"

Maka impian sy yg telah diupdate >>> mengambil kursus bahasa arab di universiti ummul qura bersama ummi dan suami (mahram).

Ya Allah perkenankanlah impian hambamu ini..permudahkanlah..dan tetapkanlah waktu yg terbaik..ameen..
doakan saya:)

If you dare to dream big, you must dare to work hard.

#sy tulis disini supaya impian ini tidak hilang,dan setiap kali saya baca entri ini saya akan lebih bersemangat.

Tuesday, September 1, 2015

Kosong

Nubla merebahkan badannya ke katil. "Huh..ngantuknyaa.." Dia mengeluh sendirian. Sejak akhir-akhir ini matanya terasa kerap mengantuk, dan kurang semangat,setiap kali buku dibuka mata terasa berat sehingga terconteng-conteng. Dia sendiri tidak faham apa yang ditulis.

Nubla berfikir sendirian, menyelusuri sepanjang aktivitinya dua-tiga hari yang lalu. Kalau diikutkan, minggu lepas lebih padat dan penat dengan assignment dan presentation.Namun, semua assignment dan  presentation telah disiapkan, bahkan telah dihantar kepada pensyarah. Lama Nubla mencari punca kantuknya yang sebenar. Dan yang lebih tepat, tidak semangat.

"Awak tak cukup minum air kot.. "
" er rasanya setiap kali mengantuk saya minum air.."
" atau awak tidur lambat.."
" semalam sy tidur pukul 11.30..huhu"
" adeh..sy pun tak tau la awk"

Akhirnya Nubla tertidur dengan persoalan yang masih belum terungkai.

Pagi itu Nubla bangun seperti biasa. Jam menunjukkan lima pagi. Sejadah dihampar menghadap kiblat. Suasana gelap dan sunyi menambahkan lagi rasa kerdil sebagai sang hamba. Lantas segala masalah diadu, segala sengsara dicerita..

"Allah..ku mohon petunjukmu"

Usai membaca ma'thurat, Nubla membuka latihan yang belum sempat disiapkan semalam dek mengantuk yang teramat.
Namun setelah menyiapkan dua muka surat, mengantuk itu datang lagi. Rasa malas dan lemah untuk menyiapkan muka surat seterusnya.

"Hai..ni mesti sebab buat kat bilik. Dah jadi mindset bilik tempat untuk tidur. Balik kelas nanti nak pergi library lah. " Nubla mengomel sendirian.

Kelas hari ini habis pukul 11 pagi, jadi dia ada hampir separuh hari masa kosong untuk dihabiskan di perpustakaan.

Eh kejap... dia menyedari sesuatu.

"Kalau pergi library nak dhuha kat mana?"

"Dhuha? Allah..dah 4 hari aku tak solat dhuha.. sebab tu kot mengantuk.."

" bukan tu je.. satu lagi soalan, semalam witr tak?"

" allahu akbar.. tak jugak."

"See..sekarang kau dah nampak kan apa puncanya.. dalam sibuk dengan urusan dunia,jangan lupa pada pemilik dunia.. dhuha dan witr tu kan dulu dah jadi amalan kita, kenapa nak tinggal. "

" yup.. sekarang aku dah jumpa, kenapa aku rasa kosong sejak akhir-akhir ini.. terima kasih Allah, atas teguran ini :)"

Wudhu' diambil. Lantas dua rakaat dhuha didirikan, sebelum menghadiri kelas pukul 9 pagi.

~ true hafiz is the one who observe his witr~
~ pesan ummi, rawatib,dhuha,taubat,hajat dan witr jadikan amalan. Lepas tu upgrade lagi dengan yang lain. Bila dah biasa,dan saat kita tinggal kita akan rasa something wrong dalam hidup kita ;)~

P/s : alhamdulillah minggu yang mencabar telah berlalu. Selamat datang minggu yang lebih mencabar :)




Monday, August 24, 2015

Kenapa

Bismillahirrahmanirrahim..

“Akak, macam mana akak boleh istiqamah dalam menulis? Macam mana boleh sentiasa ada idea untuk menulis,.semangat nak menulis..”

Saat soalan tersebut diajukan, saya terdiam. Jujur, saya bersyukur diajukan soalan sebegini kerana saat itu juga saya bertanya pada diri saya, “ kenapa aku menulis?”

Kerana hidup ini adalah medan untuk berkongsi. Setiap kali menulis, ada isi dan mesej yang ingin kita sampaikan. Ada tujuan dan matalamat supaya tulisan ini juga akan menjadi satu amal jariah kerana tulisan bersifat kekal.

Ya, saya menulis sudah tentu bermula dengan minat. Namun, bila kita sandarkan hanya pada minat, maka kita hanya menulis saat kita semangat. Seorang senior berpesan, ‘Menulislah dengan ilmu dan kefahaman bukan kerana hamasah semata” Mula-mula saya juga tidak faham apa yang ingin disampaikan. Tapi kini saya mengerti, apabila kita menulis dengan kefahaman bahawa manfaat yang kita dapat perlu disebarkan pada orang lain hatta dengan tulisan.

Saya teringat sewaktu saya mengambil ujian bahasa Inggeris di kelas Cambridge. Ujian ini perlu untuk teacher tahu dari mana beliau perlu mengajar saya. Beliau bertanyakan satu soalan “ why do you want to learn English?”

Dan apa yang dikatakan selepas itu, “saya tak nak awak belajar English hanya kerana saya ingin belajar atau kerana mak saya suruh . Tapi apa yang awak boleh guna dengan kemahiran berbahasa Inggeris itu pada orang lain, that’s what I want to know”

Sepanjang hari saya berfikir kata-kata beliau. Betul. Setiap apa yang kita buat, kita pilih, apa yang boleh kita manfaatkan pada orang lain. Saya memilih jurusan IRK untuk apa? Saya ingin cemerlang dalam peperiksaan untuk apa?

Dan semalam, saya membaca satu persatu buku tentang protestan, katolik dan ortodoks. Satu yang membuatkan saya tersentak,

Kristian protestan menganggap hidup ini sebagai ‘prayer’ dan ‘worship’. Setiap apa yang dilakukan adalah

# Acts of praise to god for the glories of his creation. Acts of thanksgiving for god’s benefit. Acts of love attempting to respond to the love that god had shown to humankind. #

Lantas satu soalan singgah di fikiran saya, “Aku hidup untuk apa? Aku beribadah kerana apa?” sedangkan penganut Kristian sendiri jelas dengan kehidupan mereka kerana tuhan mereka. Buku Kristian ditutup. Sebelum tidur saya mencapai buku mukasyafah al qulub, tajuk ketaatan dibuka. Sekali lagi saya rasa ditembak saat membaca hadis,

Sabda Rasulullah SAW “ janganlah ada di antara kamu sepertii anjing buruk, jika takut, dia bekerja. Dan jangan pula menjadi seperti pekerja buruk, dia tidak bekerja jika tidak diberi upah.” Imam al ghazali menerangkan, jika ketaatan kepada tuhan merupakan harapan akan pahala dan takut akan seksa bererti hamba itu tidak memiliki keikhlasan yang sempurna. Ia bekerja hanya untuk diri sendiri. Soalan seterusnya, “ kenapa aku membuat ketaatan pada tuhan?”

Empat situasi yang hampir sama, dalam jarak masa yang tidak jauh berbeza. Menggunakan satu kata Tanya yang sama, “kenapa?”.

 Allah inginkan kita muhasabah kembali tujuan dan matlamat setiap pilihan dan perbuatan kita.



Terima kasih Allah :)

Jadikanlah kami dari kalangan mukhlisiin.. ameen..

Monday, August 17, 2015

Kerana aku seorang hafizah..

Pertama kali kaki melangkah
Bersama azam yang membara
Ya, aku ingin menjunjung kalam-Nya
Menjadi pewaris yang belajar dan mengajarkan
Surat cinta dari ilahi

Lantas satu tahun setengah kudrat dikerah
Harapan dan hamasah bersatu
Siang dan malam, ditemani makhluk berkicau
Biar adakalanya aku terleka
Amanah dan jawatan dijadikan alasan
Bukankah kitab itu juga satu amanah?

Alhamdulillah sahabat hadir mengingatkan
Wasilah teguran dari tuhan
Untuk apa kau menghafal?
Kerana apa kau mengulang?
Adakah kerana tuhan?
Atau status hafizah maka kau dijulang?

Kini bumi itu telah ditinggalkan
Suasana hingar iadah itu tiada lagi kedengaran di sini
Namun semangat belajar dan mengajar biarkan terus menyala
Menjaga kalam itu agar terus tersemat kemas di hati
Mengaplikasi setiap ajaran dalam tindakan
Menjadi qudwah pada alam,
Bermanfaat pada ummah

Kerana aku,
Telah berjanji memikul amanah ini
Kerana aku,
Telah bersyahadah atas nama tuhan
kerana aku,
Ditaklifkan tuhan sebagai khalifah
Kerana aku,
Kerana aku seorang hafizah..

Semoga istiqamah itu sentiasa,
Kerana itulah kesukaan Dia :)

Bintun Isa Rohana
15/8/15
Majlis konvokesyen Darul Quran

P/s : semoga kita semua terus thabat.. doa doa dan doa sentiasa..
Allahu mustaan :)

Wednesday, August 12, 2015

Solusi



Saat terasa sempit
Lorong dunia gelap dan kelam
Dan kau tenggelam dalam duka
Ketenangan direntap
kegembiraan diragut
'Ahh aku bingung..'

Mata mula berkaca
bersimbah gelisah
berbaur resah
lantas manusia dicari..
'bantulah aku,
melepasi lorong ini..'

Namun mereka hanya memandang
umpama angin petang yang menyinggah
tidak meninggalkan sebarang kesan
hanya nyaman seketika
Ketenangan bersifat sementara

Dan lorong itu terusan sempit..

Hingga kau lupa,
pada Dia yang kuasa atas segala
Sepatutnya tuhan yang kau cari
bukan mereka makhluk seperti engkau
Ke mana pergi tahap kebergantunganmu?
Ditelan perut bumi?
Atau dibawa terbang angin taufan?

Bangkitlah,
Dan carilah sejadah
pada Dia kau bcerita
Pada Dia kau berharap
pada Dia kau berserah..

Ucaplah taubat sebelum terlambat,
Sesungguhnya ujian itu panggilan kasih sayang At Tawwab
agar kau sesekali tersentak
dari lena kelalaian pentas dusta
dunia fana..

12/8/15
Bintun isa Rohana

P/s : ucaplah kata-kata maaf bila kau salah.

Thursday, August 6, 2015

Hakikatnya

Bismillahirrahmanirrahim..

Rehat sekejap, mata mengantuk mengadap buku RKA yang tulisan arabnya rapat-rapat.

Saya mengambil handphone, lantas fb dibuka. Scroll newsfeed, iklan produk kecantikan sama banyak dengan berita rogol, kanak-kanak melahirkan anak. Iklan produk rapatkan hubungan intim sama banyak dengan berita haruan makan anak, sumbang mahram adik beradik.

Lantas siapa yang perlu dipersalahkan?

Pendedahan tentang hubungan intim terlalu terbuka sehingga kanak-kanak juga mengerti malah ingin mencuba. Iklan produk kecantikan yang meluas, membentuk mentaliti sesetengah masyarakat, rupa adalah segalanya, membeza-bezakan darjat manusia dengan rupa.

Saya teringat kuliah ustz Dusuki dua hari yang lalu. Kalaulah Allah melihat rupa, maka hinalah Bilal bin Rabah. Bilal berkulit hitam,berambut kerinting. Tetapi Allah muliakan bilal sebagai seorang muazzin yang azan setiap kali waktu solat sedangkan suara bilal tak sedap pun. Sehinggakan org Islam yang lain datang berjumpa dengan Rasulullah, mengadu suara bilal yang tidak sedap itu. Tetapi Rasulullah menjawab, walau suara Bilal tidak sedap, suara inilah yang mengingatkan kamu tentang solat.
Keesokan harinya, mereka dtg lagi untuk mengadu. Rasulullah menjawab, walau Bilal suaranya tak sedap, tetapi kamu tetap datang utk solat.
Hari seterusnya mereka datang lagi, meminta izin utk azan kerana suara mereka lebih merdu dan Rasulullah izinkan. Maka salah seorang dari mereka melaungkan azan. Sangat merdu tetapi hari itu, tidak ramai yang turun untuk solat.
Jibril AS datang bertemu Rasulullah dan bertanya "hari ni tak azan ke?"
Rasulullah menjawab "azan."
 kata Jibril,hari ini tidak kedengaran suara muazzin di arasy. Maka tahulah bahawa suara bilal didengari sehingga ke arasy Allah. Subhanallah..

Sahabat, usahlah bersedih andai kita tiada rupa, usahlah cemburu pada ada yang rupa kerana Saad bin Muaz yang lebih hitam dari Bilal bin Rabah, saat beliau gugur syahid bergegar arasy Allah.

Kerana hakikatnya Allah memandang taqwa. Kerana hakikatnya Allah memandang kecantikan hati..
kerana hakikatnya Allah memandang keindahan pekerti..

Maka kejarlah taqwa, cantikkanlah hati,indahkanlah pekerti.. kerana itu lebih berharga.

Usah memilih kawan, sahabat, suami,isteri kerana rupa atau wang ringgit, tetapi biarlah mereka tiada rupa namun indah ibadahnya, miskin wang tapi kaya pekertinya.
kerana semulia-mulia kamu adalah orang yang bertaqwa..

Jom kita sama-sama berusaha menjadi muttaqeen dan muqorrobiin.. :)
Doakan saya dapat jawab exam dengan baik :)

Wassalam.

Wednesday, August 5, 2015

Sahabat bisu

Dulu,

Mungkin antara kita wujudnya satu jurang

Bak dinding pemisah

Untuk kau dan aku

Dekat..

Rapat..



Dulu,

Dari kejauhan

Ku melihatmu

Ku mengikuti kisahmu

Ku mengambil berat tentangmu

Di celah-celah dinding itu.



Dulu,

Hasrat ini ku simpan,

Lafaz ini ku pendam,

Kerna bimbang,

Kau katakan retorik,

Malah hiporkrit.



Kini,

Saat kita mula bertemu,

Melihat wajah masing-masing

Tanpa dinding yang menghalang

pandangan kita selama ini,

Aku bahagia.


Kini,

Kita mula bina impian bersama

Kita mula berkongsi cerita

Melupakan sejarah bisu

Antara kita.



Namun,

Khabar itu menyentakkan aku,

Mengingatkan aku,

Akan hasrat yang satu

Lafaz yang sama dari dulu,

Sebelum terlambat

“Sahabat,

Ketahuilah,

Sesungguhnya aku ingin bersahabat,

berkasih sayang denganmu

Kerana Allah.”

Kini,

Walau kita bakal terpisah,

Doaku untukmu sentiasa,

Terbanglah,

Bersama seribu impian,

Jangan lupakan aku,

Sahabat bisumu.



Ikhlas,

Solihah Isa Rohana

Saturday, August 1, 2015

Kesedihan yang mendidik :)

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah,semalam sempat mengikuti talk dari Dr Jasser Auda mengenai maqasid syariah dalam mengendalikan cabaran pemuda muslim. Terlalu banyak input segar yang diterima, input yang menyentuh hati sehingga sekarang masih terngiang-ngiang suara dr..

Namun kali ini saya ingin berkongsi satu bahagian, tak masuk bahagian utama talk semalam, Dr selitkan sebagai contoh dan ibrah. Yang utama yang lain, saya kongsikan pada post yang akan datang in shaa Allah jika diizinkan.

“Rasulullah dilahirkan dalam keadaan yatim dan susah. Baginda membesar dalam keadaan tiada ayah tiada ibu, bekerja sebagai pengembala kambing pada usia yang muda. Inilah antara proses dalam pembentukan akhlak Rasulullah S.A.W.

Allah menjadikan beginda anak yatim supaya baginda mengetahui peritnya kehilangan maka baginda akan menyayangi dan melindungi mereka anak yatim. Baginda membesar dalam keadaan susah, mengembala kambing sedari kecil, supaya nanti Rasulullah tidak lekang untuk membantu mereka yang susah. “

Bukankah Dia mendapati kamu yatim lalu Dia melindungimu?(6) Dan Dia mendapatimu bingung lalu Dia memberi petunjuk(7) Dan dia mendapatimu seorang yang kekurangan lalu Dia memberimu kecukupan(8) Maka terhadap anak yatim janganlah kamu sewenang-wenang(9) Dan terhadap orang yang meminta jangan kamu mengherdiknya(10) Dan terhadap nikmat tuhanmu hendaklah kau bersyukur (11)

Saat Dr membacakan kami terjemahan surah Ad Dhuha berserta contoh kisah Rasulullah sendiri,saya tidak dapat menahan air mata daripada mengalir. Terasa bagaikan ayat itu sangat tepat dengan diri ini.Bagaikan ayat itu mengalir lembut,masuk dan menetap kukuh di dalam kalbu.Benar, Allah mendatangkan ujian kehilangan, ujian kesusahan ujian kesakitan segalanya adalah untuk mendidik jiwa jiwa kita,mebentuk akhlak kita.Akhlak yang mahmudah in shaa Allah.

“If Allah is your ultimate objective, you’ll see the wisdom in challenges that you face. So, in the journey towards Allah,  every pain is a gift. Because when you hurt, you’ll learn how to be patient and how to hardly believe that every musibah contains a lot of hikmah.Patience and deep believe make you a leader”

Tetapkan Allah sebagai matlamat utama kita maka kesakitan adalah satu anugerah J Alhamdulillah. Walau ditakdirkan hanya lima tahun saya sempat bersama Abah,malah saya tak ingat sangat pun lima tahun tu apa yang berlaku, saya sangat bersyukur Allah takdirkan perjalanan hidup saya seperti ini. Kerana saat sedih,cemburu melihat orang lain beraya bersama ayah, solat Jemaah bersama ayah, daftar sekolah/university bersama ayah, hati terus berkata : ‘ada yang langsung tak punya mak ayah, ada yang tak kenal siapa pun mak ayah, ada yang takleh beraya,takleh masuk university..kau hanya diuji dengan satu kehilangan’ Tipulah kalau saya kata tak sedih,namun kesedihan inilah yang mendidik :)

Saya masih ingat dulu, ketika masih di sekolah menengah, saya dijemput bersama anak yatim yang lain menghadiri majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Kami sangat diraikan dan dilayan dengan baik. Gembira melihat anak-anak yatim keriangan mendapat sumbangan dan hadiah.. tak dapat nak gambarkan perasaan gembira yang macam mana. Sehingga saya berazam, “Ya Allah, kurniakan aku kesempatan untuk turut serta menjadi seperti mereka yang menyumbang,menganjurkan,dan menggembirakan anak-anak kecil hari ini”

Alhamdulillah, kami adik beradik dibesarkan dengan cara hidup Islam. Terima kasih Ummi, kerana gigih dan sabar mendidik kami, sehingga kami menjadi kami yang hari ini.. Ummi berjaya menjadi contoh teladan yang terbaik buat kami semua.. Dan buat Abah, terima kasih Abah kerana mengemudi hidupmu, membentuk akhlakmu dulu sebagai rajulun solihun sehingga kami mewarisi akhlak yang baik itu darimu.. Walau memori antara kita bagaikan cebisan-cebisan kertas cuma, saya sudah cukup bersyukur berbintikan namamu abah..

Alfatihah :)

Friday, July 10, 2015

REDHA #3

REDHA #3

Julai 1973

“Seorang bayi tidak dilahirkan ke dunia ini melainkan ia berada dalam kesucian (fitrah). Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”

Rahimah atau nama sebenarnya Ju An Fong menapak laju. Dia akan lewat sampai ke sekolah jika terus berlenggang. Kasut putih yang telah bertukar warna sedia berkhidmat pada tuannya. Kebiasaannya, Rahimah akan keluar dari rumah pada jam 6.30 pagi. Namun hari ini dia agak lambat kerana dia perlu membungkus semua kuih untuk dijual memandangkan Mak kiah tidak berapa sihat. Kuih-kuih tersebut akan diletakkan di kedai makan berdekatan rumah, selebihnya dibawa ke sekolah untuk dijual pada rakan-rakan yang lain.

“Eh, kau tengok budak mata sepet tu. Budak ini lah yang mak dia tinggal pada Mak Kiah tu. Ada ke patut, Mak Kiah yang dah tua disuruhnya jaga makan pakai budak ni. Entah dari mana-mana datangnya.”

“Oh, inilah anak si Ju Lien tu ye. Dah besar budak ni. Aku pun tak tau lah apa yang si Ju Lien tu fikir. Tergamak dia tinggalkan anak sendiri. Memang dasar orang asing.”

Rahimah hanya memasang telinga,mendengar perbualan dua orang wanita di gerai makan tersebut. Hai, manusia memang mudah menghukum. Berita yang didengar terus disebarkan tanpa diselidik dahulu asal usul kesahihan cerita. Semuanya seronok menjadi pengulas seolah-olah lupa hidup ini ibarat roda, kadang-kadang kita berada di atas dan tak kurang juga kita berada di bawah -  tidak mustahil cerita yang disebarkan suatu hari nanti akan menjadi salah satu episod hidup mereka.

‘Ah lantaklah mereka nak kata apa. Yang penting aku sayang opah dan aku tidak kenal siapa perempuan yang bernama Ju Lien itu. Apa yang aku tahu,dia ibu kandung aku yang berbangsa cina dan terpaksa tinggalkan aku atas sebab tertentu. Dan aku, aku percaya ibu tak akan tinggal aku saja-saja’ Bisik Rahimah di dalam hatinya.

“Makcik, saya bersyukur dengan kecukupan yang tuhan kurniakan kepada saya dan opah. Terima kasih.” Rahimah memotong perbualan mereka sebelum beredar. Ringkas namun penuh dengan makna tersirat.

******

Papan kenyataan sekolah ditatap. SENARAI NAMA PELAJAR YANG LAYAK KE MRSM. Rahimah mencari-cari namanya. Matanya tertancap pada nombor tiga belas – Rahimah Binti Abdullah – Sains Tulen.

‘Alhamdulillah, akhirnya impian aku dikabulkan. Cuma, aku kena berpisah dengan opah. Mampukah aku? Hai, Rahimah dah besar,Rahimah boleh boleh boleh !!’

Petang itu Rahimah pulang bertemu opah dengan sengih yang tak lekang dari wajah. Berita gembira itu dikongsi bersama opah tersayang – opah hanya tersenyum bangga dengan cucu angkatnya. Tidak ramai yang berpeluang ke pusat pengajian tersebut apatah lagi yang ditawarkan bersama pembiayaan pengajian secara percuma. Dalam kampung mereka, hanya Rahimah yang terpilih. Kata orang, wakil kampung.

“Opah, nanti Rahimah masuk sekolah tu, Rahimah kena duduk asrama.. Jauh dari opah. Opah okay ke?”

“Aih..opah okay je. Rahimah jangan risau lah. Opah minta maaf tak dapat sediakan keperluan yang diperlukan untuk ke sana.. maaf ye cu.”

“ala..opah tak payahlah minta maaf. Rahimah boleh buat sendiri. Nanti Rahimah jahit sendiri ye opah. Hehe”

Mak Kiah hanya tersenyum. Sesekali dia terbatuk-batuk. Hayatnya benar-benar dah di penghujung.Bila-bila masa sahaja ajal akan menjemput. Gerak geri Rahimah diperhatikan dengan pandangan yang sayu. Anak ini sangat berdikari orangnya. Segala keperluan disediakan sendiri. Baju, kain, malah bekas pensil semua dijahit sendiri. Tidak pernah sekali pun Mak Kiah berasa terbeban dengan kehadiran Rahimah di dalam hidupnya. Air mata tua diseka perlahan. ‘Doaku,semoga kamu bertemu bahagia dalam hidupmu sayang’ bisik Mak Kiah di dalam hati.

September 1975

“Rahimah, Puan Syahidah nak jumpa sekarang” Mona menyampaikan pesan.

Rahimah yang begitu tekun menyiapkan latihan Matematik Tambahan mendongak.

“Kenapa?”

“Entah, katanya ada perkara penting.”

Rahimah mengangguk. Dahinya dikerutkan. Kenapa Puan Syahidah nak jumpa aku ek? Buku latihan ditutup,lantas langkah diatur ke pejabat puan Syahidah. Puan Syahidah – pengetua Maktab Rendah Sains Mara Pontian seorang yang sangat penyayang. Tutur bicaranya, nasihat berharganya mengingatkan Rahimah pada opah. ‘Ah opah. Apa agaknya khabar opah..Opah,rahimah rindu sangat..’ lirih Rahimah. Hampir enam bulan tidak menatap wajah opah membuatkan rindunya membuak-buak.

Tok tok.

“Masuk”

“Assalamualaikum puan. Puan nak berjumpa dengan saya?”

Sopan Rahimah bertanya sesudah memberi salam. Pesan nabi, sebarkanlah salam. Sesungguhnya salam itu doa.

“Waalaikumussalam. Em Rahimah, duduk dahulu. Ok baik. Sebenarnya saya ada dua perkara yang saya nak bagitahu kamu. Satu khabar gembira dan satu lagi khabar menuntut kesabaran kamu.”

Satu-satu Puan Syahidah menerangkan pada anak didik kesayangannya itu.

“ Er ok puan. Saya sedia untuk terima apa sahaja khabar tersebut”

Tenang Rahimah..tenang Rahimah..

“Macam ni, kamu ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke Universiti Of Adelaide Australia. Pihak Mara berminat untuk menaja pelajaran kamu memandangkan prestasi kamu di sini sangat cemerlang.Tahniah Rahimah, saya bangga dengan kamu”

“Alhamdulillah..terima kasih puan.. Lagi satu berita, berita apa ye puan?”

“Harap kamu bersabar, saya dapat panggilan dari anak Mak Kiah.Katanya, opah kamu dah pergi meninggalkan dunia sementara ini subuh tadi..sabar ye sayang..”



~ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati~

Bersambung…

Tuesday, July 7, 2015

Ujian itu nikmat :)

Bismillahirrahmanirrahim..

"Ya Allah,jadikanlah aku hamba yang dekat dengan-Mu"

Alhamdulillah, mungkin ini cara atau wasilah yang Allah kurniakan supaya saya dekat dengan-Nya.

Hari ini, genap lima hari kesihatan saya diuji. Bermula dengan selesema, batuk, demam, pening, semput, sesak nafas. Tambah dengan masih dalam proses menyesuaikan diri di tempat baru.

Akhirnya baru saya perasan, mungkin ini jawapan dari Allah untuk permintaan saya di atas. Sebab,

Setiap kali tengok cermin, nampak muka yang pucat, maka kita akan terdetik "Ya Allah, matikanlah aku dalam husnul khotimah"

Setiap kali tekak tak boleh terima makanan sedangkan kita lapar, "Ya Allah, terima kasih atas nikmat makan yang kau kurniakan.."

"Setiap kali semangat berkobar untuk study, revise namun kepala berpusing, berat dan sakit "Ya Allah..ku mohon kekuatan dari-Mu"

Setiap kali hati melonjak untuk berjemaah di rumah-Mu namun dek bilik tinggi dan jauh, nanti sesak nafas,semput "Ya Allah... bantulah aku untuk istoqamah beribadah pada-Mu"

Setiap masa, Allah dalam ingatan apabila satu nikmay sihat diuji..Alhamdulillah, tarbiyyah ramadhan kali ini.. benarlah, ujian itu sebenarnya nikmat :) buat mereka yang percaya :):)

Tuesday, June 30, 2015

REDHA 2

REDHA#2

April 1959

Tangisan anak kecil yang masih merah meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya apatah lagi si ibu yang mengandungkan dan melahirkan. Anak ini seakan mengerti dia bakal berpisah dengan ibu dan bapa kandungnya – perpisahan yang memeritkan. Air mata yang mengalir diseka pantas. Ibu mana yang tak sedih berpisah dengan anak?  Anak yang berkongsi makanan,minuman dan perasaan selama Sembilan bulan terpaksa ditinggalkan kepada rakan baiknya di Johor. Kejam? Ahh.. dia tidak kisah apa sahaja pandangan  masyarakat padanya, yang penting anakanya selamat. “ Kalau mereka kata aku kejam, kerajaanlah yang kejam” cemuhnya di dalam hati.

Ju An Fong terus terlena saat didakap dan dibelai ibunya. Hangat, terasa kasih sayang yang mengalir meski buat kali yang terakhir. Perlahan-lahan bayi suci ini diletakkan di atas tilam lusuh milik anak-anak sahabat baiknya. Aku yakin ini pilihan yang terbaik.

“Terima kasih Fatimah. Kaulah sahabat yang banyak bantu aku sepanjang di Malaysia ini. Aku harap, anak ini dijaga dengan baik, anggaplah dia macam anak kau. Aku terpaksa balik, keluarga aku di sana lebih memerlukan.”

“Kau sahabat aku, mestilah aku bantu. Pulanglah dengan tenang. Jangan risau, aku akan jaga anak kau macam anak aku sendiri.”

Dan dua sahabat berpelukan dengan penuh syahdu. Andai ini perjumpaan yang terakhir, saksikanlah mereka benar-benar telah menghayati erti persahabatan yang sebenar walaupun berlainan bangsa dan agama. Pemergian Ju Lien ke tanah airnya, singapura dipamit lemah. Fatimah mencuba sebaik yang boleh mempamerkan riak senang, walau hatinya dilanda badai resah. Selamat tinggal sahabat, maafkan salah dan silap aku.

Susuk badan Ju Lien telah lama hilang dari pandangan. Namun, Fatimah masih merenung bayi di hadapannya. Jauh. Ada riak resah pada wajahnya. “Allah, macam mana aku nak besarkan bayi ini, sedangkan anak-anak aku pun cukup-cukup makan je. Apa yang perlu aku jawab pada suamiku sepulangnya nanti? Siapa yang nak tengok-tengokkan ketika aku bekerja ?” Pelbagai persoalan berlegar-legar di minda Fatimah.

Ju Lien.. Wanita Cina kelahiran Singapura itu telah banyak membantunya. Bermula bantuan kewangan sehinggalah mendapatkan pekerjaan untuknya. Oleh sebab itu Fatimah tidak sanggup menolak permintaan Ju Lien untuk membesarkan anak perempuannya walau dia sendiri masih buntu.

“Apa yang kau duduk tenung bayi tu Fatimah? Anak siapa ni?” Mak Kiah, ibu kepada Fatimah muncul dari belakang rumah.

“ Em macam ni mak. Ini anak Ju Lien, wanita cina yang dah banyak tolong Timah tu. Dia terpaksa balik Singapura tetapi kerajaan Singapura tak benarkan rakyatnya mempunyai lebih dari dua orang anak. Ini anak dia yang ketiga, keluarga dia semua suruh dia gugurkan anak ni dulu. Tapi Ju Lien tak sanggup, sebab tu dia datang ke Johor atas alas an bekerja dan tinggalkan anaknya sebulan selepas dilahirkan.”

Panjang Fatimah menceritakan keadaan yang sebenar kepada ibunya. Sebenarnya dia kagum dengan Ju Lien. Walaupun Ju Lien tidak beragama Islam, namun sifat kasih seorang ibu begitu menebal di dalam dirinya. Dia lebih sanggup membawa diri jauh dari keluarga semata-mata untuk menyelamatkan satu nyawa. “Anak ini tak bersalah Timah, aku nak jaga dia sampai dia lahir” kata-kata Ju Lien tujuh bulan yang lalu terngiang-ngiang di telinganya.

“Allah..kesian budak ni. Habis tu, kenapa kau termenung Timah? Macam ada masalah je mak tengok”

“Mak pun tahu, Timah bekerja pagi sampai petang. Duit Timah pun cukup-cukup untuk anak-anak Timah je.Macam mana Timah nak jaga budak ni mak? “ Adu Fatimah.

“Macam nilah.. biar mak yang bela budak ni.”

“Er betul ke ni mak? Mak bukannya kuat sangat lagi..”



~Dan tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan terjadi esok~

Bersambung…

Thursday, June 25, 2015

REDHA #1

REDHA #1

Matanya dihala ke depan, jauh sejauh mata memandang. Angin lembut dibiarkan menyapa pipi kasarnya. Tubuh ini telah dimamah usia, 65 tahun berbakti kepada tuannya tanpa menghiraukan penat dan lelah. ‘ Huh ‘. Wanita itu mengeluh perlahan. Dunia hari ini terlalu berbeza jika dibandingkan 20 tahun yang lalu. Manusia sudah hilang sifat malunya. Malah semakin ramai yang berhati binatang, akal yang dikurniakan diletakkan di kaki – tidak dimanfaatkan nikmat yang tuhan beri.

Senyuman kecil diukirkan saat melihat pacuan empat roda berwarna merah memasuki simpang menuju ke perkarangan rumah. Hari ini, anak dan menantunya telah berjanji untuk pulang, mengisi cuti seminggu memandangkan musim cuti persekolahan telah tiba. ‘Ah, rindunya pada Si Banyak mulut,Amirah. Si Gentleman, Muaz ’. Dia mengadu sendirian. Lantas langkah diatur ke muka pintu, menyambut kepulangan insan yang dinanti.

“Assalamualaikum tok wan, tokwan sihat ke? Amirah rindu sangat dengan tok wan…” Amirah merengek manja. Tangan tok wan dicapai lembut lantas disalam dan dicium penuh hormat.

“ Yelah.. Amirah dah lama tak balik tengok tok wan. Tokwan ingat Amirah dah lupakan tokwan. “ Ujar tokwan sambil berpura-pura merajuk.

Pinggang tokwan dirangkul lalu dipeluk. “Mana ada Amirah lupa. Tokwan sentiasa di hati Amirah tahu.. hehe”

Tokwan hanya tersengih mendengar jawapan cucunya. Simpulan rindu telah terurai.

“Ummi apa khabar? Yah tengok ummi macam makin kurus je “ Sofiyyah, anak bongsu perempuannya menegur.

“Alhamdulillah sihat. Biasalah nikmat makan Allah dah tarik. Ummi dah tua,tak selera sangat nak makan.”

“Ummi tak boleh ikut selera macam tu, ummi kena makan. Em ummi, Yah ingat nak buat kenduri tahlil untuk arwah abah sabtu ni. Abang Hanif pun setuju. Boleh kan ummi?”

Tokwan  tersenyum sambil mengangguk. Azan Asar yang berkumandang mematikan perbualan mereka. Sofiyyah bersama keluarganya menapak ke bilik, merehatkan diri sebentar setelah seharian berada di dalam kereta. Solat asar telah ditunaikan dalam perjalan, jamak ke dalam waktu zohor. Tokwan masih di ruang tamu. Bingkai gambar yang terhias di meja sisi diambil lalu ditatap. Dalam dan penuh makna.

 Abang, anak-anak kita semua sudah besar. Mereka semua sudah mempunyai kerjaya dan rumahtangga masing-masing. Mereka membesar menjadi permata yang soleh dan solehah. Terima kasih abang atas tinggalan permata ini. Tenanglah kamu di sana wahai suamiku. Tidak sabar rasanya untuk aku mengikuti jejakmu. Kita berjumpa di syurga ya abang. 



~ Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu dustakan? ~

Bersambung…

Dari hati buat hati

Hati diselubungi rasa takut
tak keruan tak menentu
kecewa dan sedih
seakan dunia terlalu kejam
Bahkan isinya seakan memandang hina..

Ahh.. penyakit hati masih merajai
Dan kau masih tewas dengan zhon
Meracuni setiap roh positif yang mengalir
Membengkak membuahkan penyakit baru,
Futur untuk berkorban
Berhenti dari memberi

Apakah kau lupa,
Tuhan itu tidak pernah kejam
Tidak pernah kering rahmat-Nya
Dan tidak pernah menzalimi hamba-Nya
Malah tuhan telah berjanji "faiza saalaka 'ibadi anni fainni qorib"
Maka nikmat mana yang kau dustakan?
Janji tuhan mana yang kau ragukan?

Berhentilah memikirkan urusan tuhan
cukuplah kau melunaskan kerja hamba
yang sentiasa percaya pada ganjaran
percaya pada aturan
percaya pada hikmah segala
kerana kau tidak akan pernah rugi
berharap dan bergantung pada rabbul izzati

Sayang,
berpeganglah..
Fala taiasu min rauhillah
wala taqnatu min rahmatillah
infiru :)

Sunday, June 21, 2015

Jangan berhenti melangkah :)

Sehingga satu saat,
Kau rasakan semuanya sudah terlambat.
Waktu dirasakan semakin jauh ke depan,
Dan kau masih di takuk yang sama.
Termangu, ternganga.

Diri mula tidak keruan
Resah dan gelisah
Arghhh..
Tiada guna tangisan itu
Jeritan batinmu  menyesakkan
Teriakan itu menyucuk jiwamu.

Lantas sepatutnya sesalan itu dibimbing,
Gunakan saat yang masih ada
Sebelum terlambat
Sebelum sesalan kian membukit
Dan batinmu kian terseksa

Ayuh.. aturkan langkah
Manfaatkan waktu
Cukuplah
 kau di takuk itu
Cukuplah..
Kerana kau selayaknya jauh ke depan

Monday, June 15, 2015

Cabaran berpuasa di tanah haram

Bismillahirrahmanirrahim. Kisah ini saya kongsi, moga-moga ada manfaatnya. Dan saya berlindung jika maklumat yang disampaikan ada yang salah perhitungan.

Sejak di Malaysia, kami dah pasang cita-cita. Jom kita puasa di tanah haram tak kisah sama ada mekkah atau madinah. Namun disebabkan kami hanya berada di madinah tiga hari, dan keadaan tidak mengizinkan, jadi kami lanjutkan hasrat kami sehingga ke makkah.

Hari isnin dipilih memandangkan dalam jadual tiada ziarah luar diadakan. Sekadar aktiviti bebas, tak kisah nak buat apa. Jadi pagi tu kami bangun sekitar pukul 2 pagi, ambil turn mandi, tandas ad satu. Boleh tidur dulu sambil tunggu org mandi.. hihi
Sahur dan bersiap ke masjid. Pagi tu alhamdulillah diberi kesempatan memasuki hijr ismail.menunaikan solat 4 rakaat. Subhanallah, tak dapat nak gambarkan macam mana tenangnya rasa merebahkan muka ke tempat mulia,saat sujud rasa lantainya yang sejuk.Mula2 nmpk macam penuh, tapi dalam hati mintak Allah mudahkan, Alhamdulillah ade ruang.
Balik kami terus tidur, jetlag tak habis lagi.. adoi..
Yang melengkung tu hijr ismail. Ni gambar waktu maghrib isyak, pagi tu orang kurang sket je dari ni.

Dan... pengembaraan bermula.. aiseh. Konon nak tidur sekejap je, sekali kami terlajak. Jadi bergegas bangun dan bersiap untuk  pergi masjid. Tak boleh lambat, sebab pintu dah jauh dan cepat tutup sejak projek perluasan dijalankan. Jadi tengah hari yang terik tu kami redah.

Lepas solat, sambung tadarus sama2. Ummi dan kakak2 saya semua nak ke tandas, saya pilih untuk tunggu di masjid sahaja. Lepas tu diorang datang dengan muka yang penat cakap "alah, semua selipar hilang. Tinggal selipar ummi je. "

Owh.. saya angguk je.. haha. Tak tau nak rasa ap. Lepas tu baru terfikir. Alamak. Nanti nak balik macam mana. Cadang nak berbuka kt masjid, tp makanan utk berbuka pn takde lagi..

"Habis tadi pergi tandas macam mana?"
"Kaki ayam..hoho. Sampai satu tempat macam nak melecur kaki sebab panas."

Jadi akhirnya kami decide, saya kena balik bilik untuk ambil kasut (kasut yang dipakai dalam perjalanan ke sini. Tak sesuai untuk dibawa ke masjid.) Kakak dan ummi tunggu di masjid sementara saya ambil kasut. Tapi saya kena tunggu adik dulu untuk balik sama-sama sebab tak berani balik sorang, takut sesat. Huhu macam mengada kan, eh bukan mengada, tapi sebagai langkah berjaga. Ceh bnyk pulak alasan. * monyet tutup mata*

Lalu sekali lagi kami meredah terik cahaya matahari. Sampai di hotel orang dah penuh depan lift. Lift pulak susah nak jumpa dekat lain, istimewa di hotel ni je. Hoho, sebab hotel ni ada pintu kt luar. Kena tarik pintu baru boleh masuk. Pastu klau kita tingkat 5, dia akan tekan sekali tingkat 7,10. Jadi terpaksalah kita berhenti setiap tingkat sebelum sampai ke destinasi. Sebab tu lift ni setiap kali orang naik, orang lain kena tunggu lama lagi. Haha panjang pulak cerita pasal lift ==". Saya ajak adik saya panjat tangga, sebab takut lambat tapi sebenarnya dua2 dah penat, ibarat klau kereta minyak tu tinggal satu bar lagi. Tujuh tingkat kot nak naik. Huhu. Akhirnya sampai ke bilik, dan turun guna tangga.

Kemudian, lepas dah bagi kasut kat semua orang, kami pergi mall depan masjid. Al bayt shopping center. Misi kami ada dua, beli selipar dan makanan untuk berbuka. Kami naik tingkat tiga,pusing sana,turun balik setingkat, baru jumpa selipar. Pastu tengok harga, erk 45 riyal, 55 riyal, 29 riyal. Semua selipar ni macam selipar getah kat Malaysia yang dalam harga RM 10-15 sahaja.. ==" patut lah selipar kat sini orang selalu pinjam tak bagi balik,mahal rupanya. Huhu

Lepas dah siap misi pertama. Kami proceed dengan misi kedua, cari juadah untuk berbuka. Sekali lagi naik setiap escalator, sampai tingkat atas sekali, turun balik guna lift. Hoho. Baru jumpa foodcourt. Masa tu semua dah heret kaki. Lampu minyak dah berkelip2. Kami kehausan. Tengok orang minum air zam zam pun telan air liur. Adik saya kata tengok plastik maggi pun terliur. Haha

Dan kami balik ke hotel. Tak jadi berbuka kat masjid sebab dah lewat sangat dan kami pun dah pancit.ulang alik tengah panas banyak kali.Sampai bilik semua cepat2 hidang makanan. Adik saya buat countdown

"2 minit lagi, 1minit lagi"

Saya dah angkat tangan,ready nak baca doa kalau orang azan.

Haha. Kelakar pulak bila ingat balik, tak pernah sampai tahap macam tu tak sabar nak berbuka. Hari tu nikmat berbuka yang paling indah yang saya pernah rasa.

Benarlah, antara dua nikmat yang dirasai oleh orang berpuasa ialah nikmat berbuka.

Ada hikmah selipar hilang, kami dapat rasa nikmat sebenar berbuka puasa ;)
Sekian pengembaraan kami :D


Jalan ke tandas dari hujung bangunan ke hujung bangunan. Lantai sangat panas waktu tengah hari.


Wednesday, May 20, 2015

Pulanglah hai hati..

Masa kian suntuk
Jalan pulang menanti setia
Namun lembah hati makin tandus
Hari ke hari
Kering dan kontang

Iman menyepi
Dek tewas dengan nafsu
Hati menyalahkan akal
Kewarasan kurang terpandu
Sunnah dan wahyu
Sedangkan rajanya adalah hati.

Hai hati
Kembalilah pada perananmu
Penentu mulia dan hinanya jasad
Bangkitlah bersama jiwa
Hidupkan ruh nyalakan obor keikhlasan
Kerna jalan itu semakin dekat
Persimpangan memisahkan dua alam

Dan lewati jalan itu
Dengan hati Sang Muqorrobin.

Duhai hati,
Aku mohon.
Biiznillah.

Bintun Isa Rohana
190515

Friday, February 13, 2015

INTROSPEKSI




Hari demi hari
Kaki terasa berat melangkah
Jalan seakan menyempit
Hati meretak serapuh kaca
Sedu sedan tangisan
Membanjiri selekoh kehidupan
Hitam kelabu mewarnai landskap hidup

Di ruang kaca
Angin resah menerbangkan bayang-bayang rapuh
Ke sempadan perjalanan
Suatu bayangan dipenuhi kelompongan
Tercampak ke lembah introspeksi

Hati ini
Hubbu dunya bermaharajalela
Hasad kesumat berbunga mekar
Bagai disiram baja setiap detik.
Tangan ini
Masih menggenggam kemungkaran
Seakan boneka digerakkan arahan
Tanpa pengertian.
Lidah ini
Terlalu lantang
Bagai kacang yang terus lupakan kulit
Hakikat penciptaannya lembik

Di leher ini
Masih terlilit hujah dan prasangka
Menjerut hingga membunuh
Mengekang keikhlasan
Di Bahu ini
Bersusun amanah digalas
Adakah dunia menanti kehancuran
Dek bahu ini yang bukan ahli?

Dan hakikatnya diri ini
Ego menggunung
Keakuan membukit
Apakah selayaknya title
Hafizah itu aku?
Daie itu aku?
Khalifah itu aku?

Tuhan,pasungkanlah darah pesonaku dari menjelajahi dunia cemar
Penuhkanlah hati ini dengan keikhlasan dan ihsan
Hentikanlah mulut berahiku dari nista dan dusta
Bersihkanlah jiwa dari kotoran daki melekat
Runtuhkan bangunan ego yang membangun pesat
Kerna detik kesombongan telah meleburkan
Tulang penyatuan
Semaikan benih-benih cinta pada-Mu
Dengan rahman dan rahim-Mu

Aku bersyahadah menggugurkan kecintaan pada kepalsuan
Melunas amanah itu
Dengan segenap kudrat yang dikurniakan
Berbekalkan jiwa kaca tahan haba fitnah
Raga besi kalis peluru tohmahan
Kerna hafizah itu aku
Daie itu aku
Khalifah itu aku
Biiznillah.

Tuhan saksikanlah syahadat sang hamba
Di pintu keterasingan
Segalanya bermula detik ini

3.30 pm
10/2/2015

KU PILIH JALAN INI

Bismillahirrahmanirrahim.


Masih ku ingat dulu
Saat nyanyian lagu tiga kupang menjadi siulan
Rambut hitam masih bertocang
Sosokmu sentiasa menghilang
Keringatmu mengalir buat ummat
Kakimu biru membengkak kerana sejagat
Al wajibat aksaru minal awqat
Islah nafsak wad'u ghairak

Dan daftar permainan berhenti berputar
Sakaratul maut mengunyah
Jalan pulang terbenam di pintu rahsia
Tanpa pamit
Kau tersenyum puas dalam balutan putih
Sang khalifah mengadap tuhan

Kini ku mengerti mutiara lafzimu
Apa yang tersembunyi di sebalik pesanan
"Man qola lailahaillallah fahuwa daie"
Nas dan dalil meluncur
Bagai papan jalur terlepas dari ikatan
Pemuda bangkit berhamasah jitu
Darah merah mendidih bernafas baru
Menegakkan makruf memburu mungkar

Jalan dakwah ini bukanlah opera
Memaparkan keindahan menjanjikan kemanisan
Bahkan bukan lakonan
Fantasi si jenin dalam khayalan
Memukau menyihir penonton
Jalan ini jalan para utusan
Menyampaikan risalah tuhan
Berbunga pedih bersulam payah
Terhempap bongkah memberat pundak

Dan aku
Menunggang kuda yang sama
Mengusung panji hingga ke alam bersamamu
Biar tersungkur menyembah bumi
Menjejak senyuman di bawah tanah
Menyingkap seuntai rindu bersimpul kasih
Harapan aku berfokus padu
Redha-Nya bertaut
Buatmu,buatku..buat kita
Jalan ini ku pilih
Hadiah buatmu ayah

bintun Isa Rohana
5.50 am

7/2/15

Puisi ini didedikasikan buat abah tercinta, Isa bin Mohamad
14/12/1958 - 20/05/2001